Seorang peniaga laksa yang dikenali sebagai Tomey terpaksa menghentikan perniagaan selepas tular video dan gambar yang mendakwa kawasan penyediaan makanannya tidak bersih.
Situasi tersebut telah menimbulkan perbincangan hangat di media sosial, memaksa Tomey tampil memberikan penjelasan serta permohonan maaf.
Peniaga Laksa Mohon Maaf, Henti Berniaga Selepas Isu Kebersihan Viral
Menerusi satu hantaran di TikTok, Tomey menyatakan hasrat untuk berhenti memasak dan berniaga buat sementara waktu. Dia turut mengucapkan terima kasih kepada pihak yang mengambil berat tentang keadaannya selepas isu itu menjadi perhatian ramai.
“Buat masa sekarang saya akan berhenti masak laksa, tentang berniaga saya juga akan berhenti. Tetapi saya akan teruskan hidup seperti biasa,” katanya.
Menurut Tomey, gambar dan video yang memaparkan kawasan luar rumahnya dalam keadaan kotor sebenarnya diambil selepas rumahnya dilanda banjir. Bagaimanapun, dia mengakui kelemahan dalam menjaga kebersihan, terutama di bahagian luar rumah sebelum menyediakan makanan.
“Gambar sisa laksa itu saya baru habis basuh pinggan dan tak basuh tapak kawasan situ. Tak sempat nak simpan sisa dalam beg plastik sampah.
“Kalau saya cakap pun nanti orang kata saya pertahankan diri. Ya saya mengaku salah. Salah sebab tak bersihkan luar rumah dahulu sebelum buat laksa,” jelasnya.
Dia turut menjelaskan walaupun tidak berniaga, lalat tetap akan ada di kawasan tersebut. Tomey juga meluahkan rasa kecewa kerana video yang tular hanya memfokuskan bahagian luar rumahnya tanpa menunjukkan keadaan di dalam rumah yang menurutnya lebih bersih.
Selain itu, Tomey memohon maaf atas tindakannya sebelum ini yang marah dan mengeluarkan kata-kata kurang manis terhadap pihak yang menularkan isu tersebut. Dia juga memaklumkan bahawa dia baru sahaja keluar dari wad kecemasan dan akan berpindah ke rumah sewa baharu.
Terdahulu, video dan gambar yang dimuat naik oleh sebuah akaun TikTok menunjukkan kawasan luar rumah Tomey dalam keadaan kotor, termasuk sisa makanan dan sampah bertaburan. Rakaman itu menimbulkan kerisauan orang ramai terhadap aspek kebersihan makanan yang disediakan oleh Tomey.
Kredit: tomey8