Seorang pelajar wanita warga asing berusia 20 tahun dilaporkan cedera selepas diserang dengan senjata tajam dipercayai pisau dalam satu kejadian di sebuah kolej swasta di Subang Jaya pada petang semalam.

Penuntut Kolej Cedera Ditikam Bekas Teman Lelaki di Subang Jaya, Suspek Ditahan

Menurut Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat, insiden berlaku kira-kira jam 6.30 petang dan pihak polis menerima laporan tidak lama selepas kejadian.

“Hasil siasatan awal mendapati suspek, seorang lelaki warga asing berusia 21 tahun, dipercayai bekas teman lelaki mangsa, telah mencederakan mangsa dengan menggunakan senjata tajam,” katanya dalam satu kenyataan.

Suspek yang juga penuntut di institusi pendidikan yang sama dengan mangsa, berjaya diberkas oleh polis di lokasi kejadian tidak lama selepas insiden berlaku. Pihak polis turut merampas pisau yang dipercayai digunakan dalam serangan tersebut.

“Motif sebenar kejadian masih dalam siasatan dan suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Shah Alam untuk permohonan reman,” tambah Wan Azlan.

Kes kini disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan dengan menggunakan senjata atau objek berbahaya, yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 10 tahun atau denda atau sebatan jika sabit kesalahan.

Dalam perkembangan sama, pihak polis menyeru orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian agar tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Fadizah Ajamin di talian 019-8582166 atau Pusat Kawalan Daerah Subang Jaya di 03-78627100.

Kredit: Harian Metro

 

[fbcomments]