Penyampai berita Radio Televisyen Malaysia (RTM), Anas Farihin, tidak dapat menyembunyikan kesedihannya ketika menyampaikan berita mengenai kematian rakannya, Farah Kartini, dalam segmen berita Tengah Malam pada malam Selasa.

Sebak Sampaikan Berita Kematian Kawan Sendiri

Dalam satu perkongsian di Instagram, Anas menyatakan bahawa ia merupakan kali pertama dalam kerjayanya sebagai penyampai berita, di mana dia terpaksa mengawal emosi ketika menyampaikan berita tragis yang melibatkan sahabatnya sendiri. Farah Kartini Abdullah, yang berusia 25 tahun, digambarkan oleh Anas sebagai seorang yang baik hati, lembut tutur kata, dan sentiasa menampilkan senyuman di wajahnya.

“Ini kali pertama aku menyampaikan berita dimana tahap professionalku betul-betul tercabar. Waktu ni emosi perlu dijaga, ekspresi perlu dikawal, sebak didada perlu ditahan,” tulis Anas di ruangan kapsyen.

Anas mengenali Farah sejak zaman universiti mereka di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI). Dia menggambarkan Farah sebagai seorang yang sangat komited dan berdedikasi dalam setiap tugas yang diamanahkan.

Di penghujung perkongsiannya, Anas mengucapkan doa agar Allahyarhamah ditempatkan dalam kalangan orang-orang beriman dan menyedekahkan al-Fatihah untuknya.

Sebelum ini, mayat yang dipercayai milik Farah Kartini ditemui di kawasan Felda Gedangsa, Kuala Kubu Bharu sekitar jam 6 petang, sekali gus merungkai misteri kehilangannya. Farah dilaporkan hilang selepas menghantar kereta sewa kepada seorang pelanggan di sekitar kawasan Taman Universiti, Tanjung Malim, Perak pada hari Rabu.

Polis menerima laporan mengenai kehilangan Nur Farah Kartini, seorang bekas penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang berasal dari Sarawak, pada jam 1.56 pagi, 10 Julai lalu. Kali terakhir dia dilihat, Farah memakai pakaian korporat berwarna biru, bertudung, dan seluar slack hitam.

Kehilangannya yang diselubungi misteri kini terjawab, namun kesedihan yang ditinggalkan tetap terasa terutama kepada rakan-rakan dan keluarganya. Farah dikenali sebagai individu yang berjiwa lembut dan penuh dengan dedikasi dalam setiap perkara yang dilakukannya. Semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan di kalangan orang beriman.

Kredit: Instagram anaslerr

[fbcomments]