Seorang penyanyi terkenal dari Thailand, Chayada Prao-hom, dilaporkan meninggal dunia selepas menerima rawatan urut di sebuah pusat terapi tradisional di Udon Thani.

Kejadian difahamkan berlaku selepas sesi ketiga urutan yang melibatkan bahagian leher, dengan punca kematian disahkan sebagai jangkitan darah dan pembengkakan otak.

Penyanyi Wanita Thailand Meninggal Dunia Selepas Sesi Urutan Tradisional

Chayada, yang merupakan artis di bawah naungan Guitar Record, menghembuskan nafas terakhir di unit rawatan rapi (ICU) pada pagi Ahad lalu. Menurut kenyataan teman lelakinya, Chayada telah mengadu sakit belakang selepas satu persembahan pada 5 Oktober lalu. Untuk meredakan kesakitan tersebut, beliau membawa Chayada ke sebuah pusat urut tradisional di wilayah tersebut.

Namun, keadaan Chayada dilaporkan semakin merosot selepas sesi urutan. Beliau mengalami kebas pada separuh badan serta hilang keupayaan untuk menggerakkan lengan kirinya. Dalam satu hantaran di media sosial sebelum kematiannya, Chayada turut meluahkan kebimbangan apabila tangannya bengkak dan lebam selepas sesi ketiga rawatan.

Berikutan insiden ini, teman lelakinya menyatakan hasrat untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap pusat urut tersebut. Namun, beliau mengakui cabaran dalam mengumpulkan bukti kukuh bagi menyokong tuntutan tersebut.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Sokongan Perkhidmatan Kesihatan Thailand, Arkom Praditsuwan, memaklumkan bahawa pihak berkuasa sedang menyiasat sama ada pusat urut tersebut mempunyai lesen operasi yang sah dan mematuhi standard amalan urutan tradisional Thailand.

“Kami akan meneliti sama ada rawatan yang diberikan kepada Chayada dilakukan mengikut prosedur yang betul dan menepati piawaian perkhidmatan urutan tradisional,” jelas beliau.

Kredit: Sinar Harian

[fbcomments]