Semalam tular di laman Twitter apabila sebuah video dimuatnaik oleh orang awam memaparkan penyokong dari dua negeri iaitu Pulau Pinang dan Kedah telah mencetuskan pergaduhan secara beramai-ramai, dipercayai berlaku di luar stadium selepas tamatnya perlawanan.
Ayat Provokasi Menjadi Punca Pergaduhan
Berdasarkan sumber yang dipetik dari Berita Harian, perlawanan Liga Super antara Penang FC dan Kedah Darul Aman (KDA) FC yang berakhir di Stadium Bandaraya, Penang telah dicemari dengan insiden pergaduhan. Kejadian tersebut dipercayai berlaku di perkarangan sebuah stesen minyak yang terletak kira-kira 500 meter dari stadium.
Menurut video yang dimuat naik oleh orang awam, penyokong daripada kedua-dua kelab tersebut dilihat mengeluarkan kata-kata provokasi dan ia menjadi punca pergaduhan jadi berterusan sehingga datangnya pihak polis untuk meleraikan pergaduhan.
Gaduh Sehingga Membaling Botol Minuman
Pergaduhan tersebut berterusan sambil masing-masing bertindak membaling objek yang dipercayai ia adalah botol minuman.
Menurut info punca terbesar pergaduhan, susulan keputusan pengadil membatalkan gol kedua yang dijaringkan oleh kapten tuan rumah, Rafael Vitor pada minit ke-66 kerana terdapat kekasaran dalam kotak penalti. Selain itu, pemain pertahanan tuan rumah, iaitu Muhammad Adib Abdul Ra’op dibuang padang pada minit ke-76 selepas menerima layangan kad kuning kedua. Disebabkan oleh dua keputusan ini, penyokong kelab bengang dengan keputusan tersebut dan tercetusnya segala pergaduhan.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata tiga individu yang merupakan warga tempatan telah ditahan bagi membantu siasatan dengan lebih lanjut. Pihak polis juga akan mengeluarkan kenyataan berkenaan kes tersebut dalam masa terdekat.
Kredit: Berita Harian, Utusan Malaysia