Gangguan perkhidmatan MRT Laluan Putrajaya yang bermula sejak 25 Oktober lalu dikenal pasti berpunca daripada masalah sistem semboyan susulan kejadian kecurian kabel gentian optik berhampiran Stesen Kuchai.

Gangguan MRT Laluan Putrajaya Akibat Kecurian Kabel, Tren Dipandu Manual Hingga 30 Minit Sekali

Rapid Rail Sdn. Bhd. dalam satu kenyataan memaklumkan, insiden itu menyebabkan gangguan besar kepada sistem operasi dan memerlukan proses pembaikan menyeluruh bagi memastikan perjalanan tren kembali stabil serta selamat digunakan.

Susulan gangguan tersebut, tren yang beroperasi antara Stesen Kwasa Damansara dan Putrajaya Sentral kini dipandu secara manual, sekali gus menjadikan pergerakan lebih perlahan dengan tempoh menunggu antara 20 hingga 30 minit di setiap stesen.

Laporan polis turut dibuat berhubung kejadian kecurian berkenaan, yang mengundang kemarahan ramai pengguna pengangkutan awam.

Rata-rata netizen di platform Threads menuntut agar pelaku dikenakan hukuman berat atas perbuatan yang bukan sahaja menyusahkan orang ramai tetapi juga mengancam keselamatan.

Rapid KL dalam masa sama menasihatkan pengguna supaya sentiasa mengikuti perkembangan terkini menerusi laman media sosial rasmi dan aplikasi PULSE.

Kredit: Malaysia Gazette

 

 

 

 

[fbcomments]