Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah berkenan berangkat melawat salah seorang keluarga yang menjadi korban mangsa nahas helikopter TLDM iaitu Pegawai Taktikal Udara Skuadron 503, Allahyarham Leftenan Komander Mohammad Amirulfaris di Taman Senawang Perdana, Negeri Sembilan pada Ahad semalam.
Permaisuri Agong Hulur Sumbangan Peribadi Buat Balu Allahyarham
Memetik laporan Mstar, difahamkan Seri Paduka Baginda bertemu balu Allahyarham yang bernama Siti Aisyah Mohd Roslan bersama dua anak lelakinya yang berusia tujuh dan dua tahun.
Seri Paduka Baginda kelihatan turut meluangkan masa bersama balu, kedua ibu bapa dan dua adik arwah dan bertanyakan khabar sebelum mengurniakan sumbangan peribadi kepada Siti Aisyah.
“Paduka Baginda turut mengurniakan sumbangan peribadi kepada Siti Aisyah,” tulis individu yang memuat naik perkongsian ini di laman Facebook.
Lawatan tersebut juga disertai oleh Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Untuk rekod, Allahyarham Mohammad Amirulfaris merupakan salah seorang daripada 10 individu yang maut dalam nahas helikopter di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Lumut, Perak pada Selasa.
Jenazah Allahyarham Mohammad Amirulfaris selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Senawang pada Khamis.
Dalam insiden jam 9.32 pagi pada hari Selasa dua helikopter iaitu Pesawat HOM (M503-3) membawa empat kru dan tiga penumpang dan Pesawat Fennec dinaiki tiga kru terhempas selepas bergesel di udara.
Kredit: Mstar