Pengarah dan penerbit terkenal iaitu Datuk David Teo baru-baru ini mendedahkan bahawa dirinya pernah menjadi mangsa sihir sehingga hampir meragut nyawanya sekitar enam tahun yang lalu.
Terkena Sihir Lintah
Memetik laporan OhBulan, David memaklumkan bahawa simptom-simptom dirinya disihir mula terjadi selepas dua minggu beliau menghadiri majlis pengebumian mendiang bapanya di Segamat, Johor.
Lebih mengejutkan apabila David memberitahu sihir itu dihantar mungkin daripada ahli keluarganya sendiri.
“Dua minggu selepas balik dari Segamat, saya mula tak dapat tidur dan pening kepala. Setiap hari menjelang senja, bacaan tekanan darah tinggi saya naik yang boleh menyebabkan saya kena strok.
“Pada awalnya saya anggap itu normal kerana saya pun sudah berusia. Bagaimanapun selepas berjumpa doktor dan membuat pemeriksaan, doktor sahkan saya bebas daripada penyakit darah tinggi.
“Bila rujuk kepada ustaz untuk berubat, barulah dapat tahu yang saya sudah terkena gangguan sihir. Sihir lintah tidak silap saya. Ustaz menyarankan supaya saya segera berubat kerana jika dibiarkan, ia boleh membawa maut. Sihir itu orang terdekat juga yang hantar,” ceritanya.
Diri Kembali Pulih Selepas Mendapatkan Rawatan Tradisional Bersama Seorang Ustaz
Tambah David lagi, beliau mendakwa terdapat perubahan ganjil yang berlaku pada dirinya selama sebulan. Bagaimanapun, keadaanya kembali pulih selepas mendapatkan rawatan tradisional bersama seorang ustaz.
“Bila cuaca panas, saya akan pakai baju berlapis-lapis seolah-olah berada dalam musim sejuk. Kalau pergi mana-mana tempat yang tak nampak cahaya matahari, saya akan menggigil dan jantung berdebar.
“Selera makan juga bertambah. Saya makan seperti kanak-kanak yang sedang membesar dan kerap makan. Berbeza keadaan saya sebelum ini yang jarang makan pada waktu malam.
“Ketika proses rawatan, saya dimaklumkan ustaz individu tersebut menyihir saya dengan menghantar lintah ke dalam tubuh saya. Lintah itu akan musnahkan organ dalaman secara perlahan-lahan. Sebulan jugalah saya menderita sebelum pulih sepenuhnya,” katanya.
Sekadar info, David bakal mengeluarkan filem berjudul Jangan Pandang Belakang 2, dimana ia merupakan sekuel kepada filem pertama yang ditayangkan pada 17 tahun lalu.
Filem itu menceritakan kesinambungan daripada kisah saka keluarga Opah yang mencari tuan baharu untuk didampingi, namun ada sesuatu yang menghalang dan membawa pelbagai kejadian menyeramkan.
Kredit: OhBulan!