Kisah seorang wanita yang pernah tular kerana merosakkan keretanya sendiri kini kembali mendapat perhatian selepas kenderaan tersebut dilaporkan dilelong pada harga serendah RM2,000.
Kereta Viral Dijual Harga Serendah RM2,000
Wanita itu sebelum ini mencetuskan kontroversi apabila bertindak memecahkan cermin, merosakkan bahagian sisi, dan menghancurkan luaran kereta Honda City miliknya ketika ia hendak ditarik pada Oktober lalu. Rakaman insiden tersebut mencetuskan pelbagai reaksi di media sosial.
Menurut hantaran terkini di Facebook, kereta Honda City model 1.5 VTEC keluaran 2008 itu disenaraikan untuk lelongan di sebuah platform lelong kenderaan di Subang, Selangor.
Walaupun bahagian luarannya kelihatan rosak teruk, enjin dan sistem dalaman kenderaan tersebut dilaporkan masih dalam keadaan baik, menjadikan ia pilihan menarik bagi pembeli yang ingin membaik pulih.
“Kereta viral. Lagi murah dari RXZ, lelong RM2,000. Honda City tahun 2008. On tak on?” tulisnya pada ruangan kapsyen.
Difahamkan, wanita tersebut bertindak merosakkan kereta itu kerana berasa tertipu dengan pemilik asal kenderaan. Dia mendakwa telah membuat pembayaran ansuran kepada pemilik asal, tetapi individu tersebut gagal melunaskan bayaran kepada bank selama lapan bulan, menyebabkan kereta itu ditarik.
Kredit: Facebook Ishaq Marazi