Bekas isteri pelawak Harith Iskander, Dr. Jezamine, baru-baru ini mengumumkan bahawa pembatalan persembahan Harith di Dewan Filharmonik Petronas (DFP) adalah keputusan terbaik demi memastikan keselamatan keluarga mereka.

Keputusan ini diambil berikutan ancaman serius yang diterima mereka susulan isu kontroversi yang tular di media sosial.

Ancaman Bunuh Punca Pembatalan Persembahan Harith Iskander di DFP

Dalam hantaran di Instagram, Dr. Jezamine meluahkan rasa kecewa terhadap situasi yang dihadapi, namun mengakui bahawa langkah tersebut perlu demi melindungi nyawa mereka, terutamanya anak-anak.

“Saya (Dr Jezamine) menerima ancaman bunuh yang ditujukan kepada saya. Namun, apa yang lebih menyayat hati dan menggoncang jiwa saya adalah ancaman keji terhadap anak-anak kami.

“Biar saya jelaskan: mengancam keselamatan kanak-kanak yang tidak bersalah melampaui segala batas yang boleh dibayangkan. Ia adalah sesuatu yang hina, pengecut, dan tidak berperikemanusiaan,” jelasnya.

Beliau turut menyatakan bahawa laporan polis telah dibuat, dan mereka tidak akan memberikan sebarang komen lanjut mengenai ancaman tersebut.

Dr. Jezamine mendedahkan bahawa persiapan untuk persembahan di DFP bukan sahaja melibatkan Harith tetapi juga anak-anak mereka, Zander dan Zydane, yang sepatutnya membuat penampilan istimewa dalam segmen pembukaan.

“Harith telah mencurahkan berbulan-bulan persiapan dan kerja keras untuk persembahan ini, dan melihat ia dibatalkan amat menyedihkan beliau serta mengecewakan kami semua.

“Anak kami, Zander dan Zydane juga sepatutnya menjadi sebahagian daripada pembukaan persembahan tersebut,” katanya lagi.

Dalam perkongsiannya, Dr. Jezamine turut menzahirkan rasa kecewa terhadap mentaliti sesetengah pihak yang tergamak mengancam nyawa hanya kerana berbeza pandangan.

“Saya diajar bahawa Allah meminta umat Islam untuk berbuat baik kepada semua orang, tanpa mengira tindakan atau status mereka. Kebaikan adalah satu sifat mulia yang mencerminkan sifat pengasih dan penyayang Allah,” luahnya.

Kontroversi bermula apabila Harith memuat naik hantaran di media sosial berkaitan istilah ‘Ham’, yang kemudian disalah tafsir oleh sesetengah pihak hingga dikaitkan dengan nama Nabi Muhammad SAW. Perkara itu mencetuskan perdebatan hangat sehingga ada pihak yang membuat laporan polis.

Jabatan Agama Islam Malaysia (JAKIM) juga dilaporkan akan memanggil Harith Iskander untuk siasatan lanjut berhubung isu berkenaan.

Kredit: Instagram drjezaminelim

 

 

[fbcomments]