Seorang remaja perempuan yang kehilangan enam ahli keluarga dalam tragedi lemas di terusan Sungai Korok minggu lalu menerima kunjungan istimewa daripada seorang wanita dan anak perempuannya yang secara kebetulan memiliki wajah seiras serta berkongsi nama ibu yang sama.
Pertemuan menyentuh hati itu berlaku apabila Putri Qisya Nur Izzat Mohamad Azim, 12, dikunjungi oleh seorang penjawat awam, Nurul Hidayah Ab Basir, 38, yang membawa anak perempuannya, Nureen Kiesya Adelea Mohamad Yazid, juga berusia 12 tahun, ke kediaman ibu saudara mangsa di Taman Seri Aman, Jitra.
![]()
Putri Qisya Terima Kunjungan Istimewa, Temui Rakan Sebaya Wajah Seiras & Kongsi Nama Ibu Sama
Menurut Nurul Hidayah, pertemuan tersebut berlaku secara spontan selepas dia membaca kisah mengenai kehilangan keluarga Putri Qisya di media.
“Saya terbaca berita mengenai tragedi itu dan rasa sangat tersentuh. Dengan bantuan seorang rakan, saya cuba menjejaki lokasi Putri Qisya dan akhirnya diberitahu dia kini tinggal bersama ibu saudaranya,” katanya.
Beliau berkata, sebelum itu mereka sekeluarga sempat singgah ke Jerlun untuk mencari rumah nenek mangsa, namun dimaklumkan bahawa Putri Qisya tidak menetap di situ. Mereka kemudian terus ke rumah ibu saudara mangsa.
“Saya, suami dan anak terus ke rumah tersebut dan syukur, kami diberi peluang untuk bertemu Putri Qisya. Walaupun tidak pernah berkenalan sebelum ini, suasana sangat mesra dan tenang,” jelasnya lagi.
![]()
Apa yang lebih mengejutkan, menurut Nurul Hidayah, anaknya dan Putri Qisya bukan sahaja sebaya dan belajar dalam tahun yang sama, malah memiliki rupa paras yang hampir serupa.
“Mereka juga berkongsi minat dan impian yang sama, iaitu ingin melanjutkan pelajaran ke Maktab Rendah Sains MARA (MRSM). Anak saya sangat gembira dapat bertemu ‘kembar’ barunya dan mereka saling bertukar nombor telefon,” ujarnya.
Tambahnya, atas rasa simpati dan naluri keibuan, beliau terdetik untuk mengambil Putri Qisya sebagai anak angkat, namun belum berbincang secara rasmi dengan penjaga remaja tersebut, iaitu Nur Adliah Syuhada Ishak, 26, yang kini menjaga anak-anak arwah abangnya.
Menurut Nurul Hidayah, sejak pertemuan itu, anaknya sudah mula memanggilnya ‘Mummy’ dan meminta agar mereka berdua terus berkawan rapat.
“Saya harap hubungan ini dapat diteruskan. Kami tinggal di Sungai Petani dan jika berkesempatan, saya akan membawa anak saya bertemu Qisya dengan lebih kerap,” ujarnya.
![]()
Terdahulu, negara dikejutkan dengan insiden menyayat hati melibatkan enam sekeluarga yang maut selepas kereta dinaiki mereka terbabas dan tenggelam dalam terusan di Sungai Korok, Jitra. Putri Qisya merupakan satu-satunya mangsa yang terselamat dalam kejadian tersebut.
Kredit: Harian Metro