Satu tragedi menyayat hati telah berlaku apabila pesawat Azerbaijan Airlines yang dalam perjalanan dari Baku ke Grozny terhempas berhampiran bandar Aktau, Kazakhstan, semalam. Kejadian tersebut telah mengorbankan 38 daripada 62 penumpang dan lima anak kapal.
![]()
![]()
Pesawat Azerbaijan Airlines Terhempas, Seorang Mangsa Sempat Rakam Detik Cemas
Menurut laporan media antarabangsa, pesawat yang dikenali dengan nombor penerbangan J2-8243 itu dilaporkan terhempas, dengan rakaman video yang tular di media sosial memperlihatkan detik-detik akhir pesawat tersebut yang terbang secara miring sebelum menjunam dan terbakar sejurus selepas terhempas.
Di sebalik detik cemas itu, satu rakaman lain turut mencuri perhatian apabila seorang mangsa sempat merakamkan video yang dihantarnya kepada isterinya beberapa minit sebelum pesawat itu terhempas. Dalam video tersebut, lelaki berkenaan dilihat tenang dan berdoa sambil membaca syahadah, seolah-olah bersedia menghadapi takdir yang tidak dapat dielakkan.
![]()
Video di bawah:
https://x.com/yo2thok/status/1871987622517879096?s=46&t=lOtDPMyIYmtDu_EQulWeUw
Keberanian lelaki ini dikongsi oleh media, yang turut melaporkan bahawa dia adalah salah seorang yang terselamat. Lebih menyentuh hati, selepas kejadian, lelaki ini masih mampu berjalan dan merakam keadaan sekeliling sambil mengucapkan “Allahuakbar” sebagai tanda syukur.
Pihak berkuasa Kazakhstan menyatakan bahawa mereka sedang merawat mangsa yang terselamat, termasuk dua kanak-kanak, di hospital terdekat. Sebahagian daripada mangsa yang cedera dilaporkan berada dalam keadaan kritikal. Sementara itu, Kementerian Pengangkutan Kazakhstan mengesahkan bahawa siasatan terperinci mengenai insiden ini sedang dijalankan.
Pihak Azerbaijan Airlines menyatakan bahawa punca awal kemalangan dikaitkan dengan perlanggaran pesawat dengan sekumpulan burung. Namun, pihak berkuasa Kazakhstan menjelaskan bahawa mereka akan menyiasat kejadian ini dengan lebih mendalam untuk mendapatkan maklumat yang lebih jelas.
Kredit: Kosmo!