Ibu bapa kepada Zayn Rayyan Abdul Matin, 6, yang maut akibat dibunuh di Damansara Damai pada tahun lalu dilaporkan telah ditahan polis.
Ibu Bapa Zayn Rayyan Ditahan
Berdasarkan sumber Sinar Harian, difahamkan pasangan suami isteri tersebut ditahan di sekitar kawasan Puncak Alam pada Jumaat lalu kira-kira jam 11 pagi.
Mereka kemudiannya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya untuk tujuan dokumentasi dan siasatan lanjut.
Sementara itu, Ketua Polis Selangor iaitu Datuk Hussen Omar Khan turut mengesahkan berkaitan penahanan tersebut dan pasangan suami isteri itu akan dibawa ke Mahkamah Majistret Petaling Jaya untuk permohonan reman pada Sabtu, hari ini.
Sebelum ini, ibu kepada Zayn Rayyan iaitu Ismanira Abdul Manaf memuat naik perkongsian di Facebook mengenai kehilangan anaknya ketika menaiki tangga ke rumah mereka di Apartmen Idaman, Damansara Damai selepas bermain di taman permainan kawasan tersebut pada 5 Disember lalu.
Pada 7 Disember, mayat Zayn Rayyan yang juga merupakan kanak-kanak istimewa austisme ditemui di aliran sungai berdekatan blok rumahnya. Mangsa disyaki dibunuh di kawasan lain sebelum mayatnya diletakkan di lokasi kejadian. Hasil bedah siasat menemukan kesan kecederaan pada leher dan tubuh mangsa.
Kredit: Sinar Harian