Pihak polis kini sedang giat mencari seorang lelaki berusia 48 tahun bagi membantu siasatan berkaitan kematian tragis tiga ahli keluarga dalam kebakaran di Kampung Paya Redan, Pagoh, yang berlaku pada Jumaat lalu.
Mangsa terdiri daripada pasangan warga emas dan cucu mereka yang berusia 11 tahun.
Suspek Sedang Dikesan Polis
Menurut Ketua Polis Daerah Muar iaitu Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz, kes ini telah diklasifikasikan semula daripada Laporan Kematian Mengejut kepada Seksyen 302 Kanun Keseksaan atas tuduhan membunuh, setelah polis menemui bukti unsur jenayah di lokasi kejadian dan hasil bedah siasat ke atas ketiga-tiga mangsa.
“Siasatan mendalam di tempat kejadian serta hasil bedah siasat menunjukkan terdapat kesan jenayah pada mayat mangsa. Kes ini kini diklasifikasikan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh, serta turut disiasat di bawah Seksyen 436 dan Seksyen 326 Kanun Keseksaan berkaitan khianat dengan api dan mendatangkan kecederaan parah,” ujar Raiz Mukhliz dalam kenyataannya pada Sabtu.
Lelaki yang dikehendaki, dikenali sebagai Azman Mohamed Nor, merupakan anak kepada pasangan warga emas tersebut dan turut tinggal bersama mereka sebelum kejadian.
Difahamkan, suspek dipercayai melarikan diri menaiki sebuah motosikal selepas kebakaran berlaku.
Polis menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai keberadaan suspek agar segera menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar di talian 06-9564800 atau mana-mana balai polis terdekat.
Dalam pada itu, Nor Hasyim Mohd Taher, 43, bapa kepada kanak-kanak yang terkorban dalam insiden tersebut, memaklumkan hasil bedah siasat menunjukkan anaknya meninggal dunia akibat kecederaan pada bahagian kepala.
Menurutnya, ketukan kuat pada kepala menyebabkan kematian anaknya, sementara kecederaan lain disebabkan oleh hentakan objek tumpul.
“Pemeriksaan bedah siasat mendapati anak saya meninggal dunia disebabkan kesan ketukan di kepala, manakala wajahnya mengalami kerosakan teruk akibat hentakan objek tumpul. Kesan kebakaran tidak begitu teruk,” kata Nor Hasyim ketika ditemui selepas pengebumian anaknya di Tanah Perkuburan Islam Kampung Paya Redan, Pagoh.
Sebelum ini, kebakaran yang berlaku telah meragut nyawa tiga ahli keluarga iaitu pasangan warga emas Mohamed Nor Mohamed Yassin, 82, dan isteri, Ara Abdul Hamid, 76, serta cucu mereka Noradriana Nor Hasyim, 11.
Sementara itu, seorang lagi cucu, Norazima Mohd Radhi, 14, mengalami kecederaan di kepala dan kini sedang dirawat di Hospital Pakar Sultanah Fatimah Muar.
Kredit: Berita Harian