Kehilangan seorang pempengaruh Malaysia yang sebelum ini mencetuskan kebimbangan ramai akhirnya disahkan sebagai satu gimik semata-mata.
Polis Indonesia mengesahkan bahawa insiden melibatkan Ammar Mohd Nazhan, Aras, dan rakan mereka Eyka hanyalah kandungan rekaan bagi menarik perhatian serta meningkatkan tontonan di media sosial.
![]()
Polis Indonesia Sahkan Kehilangan Pempengaruh Malaysia Palsu Semata-Mata Demi Tarikan Penonton
Menurut laporan portal Kumparan News, pihak berkuasa mendapati laporan kehilangan yang dibuat pada Khamis lalu tidak berasas. Kapolsek Panyileukan, Kompol Kurnia, menjelaskan bahawa mereka telah melakukan siaran langsung di TikTok pada Ahad lalu dengan jalan cerita palsu kononnya Eyka hilang selama 48 jam selepas melakukan rakaman paranormal di Bukit Embah Garut, Bandung.
Tindakan mereka bagaimanapun mengundang padah apabila polis Indonesia menegaskan bahawa negara itu mempunyai undang-undang ketat terhadap penyebaran berita palsu. Tambahnya, sebarang kandungan berkaitan tidak boleh dibuat tanpa kebenaran pihak berkuasa, meskipun telah mendapat kelulusan daripada pengurus wilayah setempat.
![]()
Sebagai tindakan lanjut, Ammar, Aras, dan Eyka telah tampil memohon maaf kepada polis serta membuat kenyataan bertulis dan video pengakuan bahawa mereka tidak akan mengulangi perbuatan tersebut.
Sebelum ini, kehilangan Eyka yang dikatakan berlaku selama tiga hari menjadi tular selepas penemuannya dikongsi menerusi siaran langsung di TikTok. Dalam rakaman itu, Eyka dilihat terbaring dalam keadaan lemah di kawasan semak samun sekitar jam 10 malam.
Bagaimanapun, dakwaan kehilangan itu dipertikaikan oleh penyanyi rap Caprice, yang mendedahkan bahawa ia hanyalah satu gimik selepas menerima maklumat daripada pihak agensi bakat. Ammar Nazhan pula menafikan tuduhan tersebut dan meminta orang ramai berhenti menyebarkan tangkap layar perbualan yang didakwa tidak benar serta mengelirukan.
![]()
![]()
Insiden ini mengundang pelbagai reaksi, dengan ramai pihak mengecam tindakan tersebut kerana menimbulkan kegusaran awam serta membazirkan masa pihak berkuasa.
Kredit: portal Kumparan News