Polis menafikan insiden sekumpulan pelajar lelaki mengangkat rakan mereka sehingga terhantuk pada tiang seperti yang tular di media sosial baru-baru ini sebagai kejadian buli, sebaliknya ia dikenal pasti hanya gurauan yang melampaui batas.
![]()
Polis Sahkan Insiden Pelajar Diangkat Rakan Bukan Buli, Hanya Gurauan Keterlaluan
Ketua Polis Daerah Miri, Asisten Komisioner Mohd Farhan Lee Abdullah berkata, rakaman video berdurasi 13 saat itu menimbulkan pelbagai tanggapan dalam kalangan masyarakat, namun siasatan mendapati ia tidak melibatkan unsur paksaan atau penderaan. Beliau menjelaskan, pelajar yang dikatakan mangsa hadir bersama ibu bapa membuat laporan pada 23 September lalu, sekali gus menafikan dirinya dibuli. Remaja itu memberitahu insiden tersebut berlaku sempena sambutan hari lahirnya pada 19 September bersama rakan-rakan jurusan automotif.
Menurut Mohd Farhan, pihak institut pendidikan turut mengesahkan kejadian berkenaan hanyalah gurauan keterlaluan. Walau begitu, pihak institut tetap akan mengambil tindakan tegas terhadap semua pelajar yang terbabit. Polis juga telah memanggil pegawai institut, ibu bapa serta semua pelajar berusia 18 hingga 24 tahun yang dirakam dalam video tersebut untuk diambil keterangan, sebelum kes diklasifikasikan sebagai tiada tindakan lanjut (NFA).
![]()
Beliau menegaskan, pihaknya tetap memandang serius sebarang isu melibatkan buli kerana ia berpotensi memberi kesan buruk kepada mangsa, sama ada secara fizikal mahupun psikologi. Polis Daerah Miri juga akan terus memantau perkembangan kes ini dan tidak teragak-agak mengambil tindakan sekiranya muncul bukti baharu yang menunjukkan elemen jenayah.
Dalam masa sama, orang ramai dinasihatkan supaya tidak lagi menularkan rakaman berkenaan atau membuat spekulasi yang boleh mencetuskan kebimbangan awam. Sebarang maklumat relevan disarankan untuk terus disalurkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah Miri bagi tindakan lanjut.
Kredit: Malaysia Gazette