Penemuan mayat seorang lelaki dalam gaung di kawasan Kampung Batu 23, Jalan Pahang, di sini pada Sabtu lalu disahkan sebagai kes bunuh susulan laporan bedah siasat yang dijalankan pihak hospital.

Polis Sahkan Kes Mayat Lelaki Dalam Gaung Sebagai Kes Bunuh, Mangsa Cedera Dipukul Objek Tumpul

Ketua Polis Daerah Tapah, Superintenden Johari Yahya memaklumkan hasil pemeriksaan pakar forensik mendapati mangsa mengalami kecederaan berganda dipercayai akibat dipukul menggunakan objek tumpul.

“Hasil bedah siasat mendapati mangsa mengalami kesan lebam serta luka pada bahagian kepala, muka, belakang badan serta kedua-dua tangan dan kaki. Berdasarkan penemuan tersebut, kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.43 tengah hari Sabtu lalu, polis menerima panggilan daripada orang awam yang melaporkan penemuan mayat lelaki tidak dikenali dalam keadaan tertiarap di bawah cerun setinggi kira-kira 15 meter di tepi jalan.

Pasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tapah bergegas ke lokasi kejadian dan menemui mangsa yang dipercayai berusia awal 30-an. Mangsa ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri dan disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan dari Hospital Tapah.

Mangsa ketika itu dilaporkan berpakaian t-shirt putih dan berseluar pendek hitam, namun tiada sebarang dokumen pengenalan diri ditemui bersamanya.

Pasukan forensik dan Unit Anjing Pengesan (K9) dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak turut dikerahkan ke lokasi bagi membantu siasatan, manakala pihak bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Tapah turut terlibat dalam proses membawa naik mayat dari cerun.

Mayat kemudian dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di Ipoh untuk proses bedah siasat yang dijalankan pada keesokan harinya. Cap jari mangsa juga telah diambil bagi tujuan pengecaman identiti.

Sehubungan itu, pihak polis meminta orang awam yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian agar tampil membantu siasatan dengan menghubungi mana-mana balai polis berhampiran atau terus berhubung dengan Pegawai Penyiasat, Asisten Superintenden Shahrul Shamsudin di talian 05-4011222.

Kredit: Sinar Harian

 

 

[fbcomments]