Polis menyiasat seorang guru wanita yang berusia 37 tahun selepas didakwa bercinta dengan seorang pelajar lelaki berusia 17 tahun walaupun masih berstatus isteri orang dan sudah mempunyai lima orang anak.
Guru Didakwa Cium Leher Pelajar Sendiri
Menurut Ketua Polis Sepang iaitu Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof, beliau memaklumkan bahawa pihaknya telah menerima laporan daripada keluarga remaja lelaki berkenaan pada jam 10.30 malam, 12 Disember lalu.
“Ibu mangsa mendakwa terdapat kesan kemerahan pada leher anaknya yang pada ketika itu berusia 16 tahun, kejadian tersebut dikatakan berlaku selepas mangsa balik dari ulang kaji pelajaran bersama guru matematik,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Tambah Wan Kamarul lagi, siasatan dijalankan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Sepang dan mendapati kejadian berlaku pada jam 4.50 petang, 12 Disember lalu.
“Mangsa yang sepatutnya balik ke rumah masih bersama guru matematiknya di perpustakaan. Pelajar itu mendakwa telah dipeluk dan dicium oleh guru matematik berusia 37 tahun itu hingga meninggalkan kesan kemerahan pada lehernya,” jelasnya.
Polis Sedang Melengkapkan Kertas Siasatan
Sementara itu, difahamkan mangsa telah dirujuk ke hospital untuk pemeriksaan ke atas kesan kemerahan yang terdapat pada lehernya dan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 14 Akta kesalahan Seksual Terhadap kanak Kanak 2017 yang membawa hukuman penjara selama tempoh tidak lebih sepuluh tahun dan sebat.
Polis kini sedang melengkapkan kertas siasatan sebelum dirujuk ke pejabat timbalan pendakwa raya untuk mendapatkan arahan lanjut.
Sebelum ini, kakak kepada pelajar lelaki berkenaan telah memuat naik satu hantaran di laman X yang memberitahu ibu mereka sudah membuat laporan polis serta laporan berasingan kepada Pejabat Pendidikan Daerah mengenai kejadian.
Walaupun guru terbabit sudah dipindahkan ke sekolah lain, namun mereka mendakwa guru tersebut dan adiknya masih berhubung dan pernah bertemu di pantai secara rahsia.
Bagaimanapun, dia kemudian menurunkan hantaran itu selepas kes menjadi tular dan mendapat perhatian daripada seluruh warga Malaysia.
Kredit: Harian Metro