Polis membuka kertas siasatan susulan satu rakaman video kes buli di sebuah sekolah berasrama di Pulau Pinang yang tular di media sosial sejak Isnin.
![]()
Video di bawah:
https://x.com/update11111/status/1909120611286446355?s=46&t=lOtDPMyIYmtDu_EQulWeUw
Polis Siasat Kes Buli Tular di MRSM Pulau Pinang, Pelajar Terlibat Digantung Sekolah
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Superintendan Jay January Siowou, berkata siasatan dijalankan selepas pihaknya mengesan satu video berdurasi satu minit 31 saat yang memperlihatkan beberapa pelajar lelaki dipercayai membuli rakan mereka di dalam sebuah dorm. Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.
Menurut beliau, lokasi kejadian telah dikenal pasti dan individu yang terlibat sedang dikesan bagi membantu siasatan. Katanya, video berkenaan yang memaparkan tindakan fizikal terhadap seorang pelajar telah meraih lebih 700,000 tontonan di Facebook serta mencetuskan ratusan komen daripada orang ramai.
![]()
Mengulas lanjut, siasatan sedang dijalankan secara menyeluruh dengan mengambil kira semua sudut berkaitan kejadian. Kes akan dirujuk kepada pihak pendakwa raya sebaik sahaja siasatan selesai dijalankan.
Dalam masa sama, pihak polis turut menasihatkan masyarakat agar tidak membuat spekulasi yang boleh mengganggu proses siasatan dan menggalakkan orang ramai yang mempunyai maklumat tampil membantu dengan menghubungi talian hotline Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Selatan.
Dalam perkembangan berkaitan, Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki memaklumkan bahawa pelajar-pelajar yang terlibat dalam insiden berkenaan telah digantung persekolahan serta-merta sebagai langkah awal bagi melancarkan siasatan dalaman.
![]()
Beliau menegaskan bahawa MARA tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk salah laku termasuk kes buli, dan tindakan tegas akan diambil terhadap pelajar yang terbukti bersalah berdasarkan hasil siasatan yang telah diterima daripada pihak pengurusan MARA dan Bahagian Pendidikan Menengah.
Dalam kenyataan terbaharu, beliau turut mengesahkan bahawa semua tujuh pelajar yang telah dibuktikan bersalah oleh Jawatankuasa Disiplin Maktab akan ditamatkan pengajian serta-merta. Langkah ini diambil sebagai mesej jelas bahawa tiada ruang untuk pembuli mahupun budaya buli di mana-mana Institusi Pendidikan MARA (IPMA), termasuk MRSM.
Sebelum ini, tular video memaparkan seorang pelajar lelaki dalam keadaan tertiarap di atas katil, dipercayai menjadi mangsa buli apabila beberapa pelajar lain bertindak kasar dengan menekan badannya serta memukul menggunakan tali pinggang.
Kejadian itu dipercayai berlaku di sebuah Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) di Pulau Pinang.
Kredit: Majoriti Official