Seorang pengguna Facebook yang dikenali sebagai Cecelia Yap Song KL akhirnya tampil memohon maaf selepas komennya yang dianggap tidak sensitif mengundang kemarahan umat Islam.

Komen tersebut yang ditinggalkan pada hantaran pelawak Harith Iskander, mengaitkan perkataan ‘ham’ dengan nama Nabi Muhammad SAW, sekali gus mencetuskan kontroversi.

Pengguna Facebook Tampil Mohon Maaf Selepas Komen Cetus Kemarahan Umat Islam

Cecelia, melalui firma guamannya Saibullah M. V. Nathan & Co, menyatakan rasa kesal atas tindakannya.

“Saya amat kesal bahawa komen saya yang tidak sensitif tersebut telah menyinggung perasaan semua.

“Saya berjanji tidak akan mengulangi perbuatan di masa-masa depan,” katanya dalam kenyataan itu.

Selain itu, Cecelia turut memohon agar rakyat Malaysia memaafkannya.

“Sekali lagi saya dengan rasa amat rendah diri memohon maaf kepada semua rakyat Malaysia berkenaan insiden ini.

“Saya menyusun jari dan memohon kepada semua yang tersinggung dengan komen saya tersebut dapat memaafkan kesilapan saya,” tambahnya. Cecelia juga memberi jaminan akan bekerjasama sepenuhnya dengan pihak polis dalam siasatan.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, mengesahkan siasatan berhubung insiden itu sedang dijalankan. Siasatan melibatkan Harith Iskander dan Cecelia Yap dibuat di bawah Seksyen 298 dan Seksyen 505 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Dalam pada itu, kontroversi bermula apabila Harith Iskander memuat naik satu hantaran di Facebook yang mengandungi jenaka tentang ‘Ham Sap Kopi’. Walaupun bersifat gurauan, hantaran itu mengundang kritikan segelintir pihak yang menganggapnya tidak sensitif.

Kredit: Free Malaysia Today (FMT)

 

[fbcomments]