Seorang wanita berusia 37 tahun ditahan polis selepas tindakannya memukul dan mencederakan anaknya di hadapan sebuah pasar raya di Jejawi, Arau selepas video tular di media sosial.
Video di bawah:
https://x.com/malaysianfoods/status/1888962436302286994?s=46&t=lOtDPMyIYmtDu_EQulWeUw
Wanita Ditahan Selepas Video Pukul Anak di Hadapan Pasar Raya Tular
Kejadian yang dirakam menerusi kamera litar tertutup (CCTV) itu menunjukkan suspek bertindak kasar terhadap anaknya sehingga menyebabkan kanak-kanak tersebut terjatuh dan terhantuk pada bucu bangku.
Ketua Polis Daerah Arau, Superintendan Ahmad Mohsin Md Rodi, mengesahkan bahawa pihaknya menerima laporan daripada orang awam mengenai insiden tersebut selepas rakaman CCTV berkenaan tersebar luas di media sosial.
“Hasil siasatan mendapati kejadian berlaku di kaki lima sebuah pasar raya di Jejawi. Dalam video yang tular, suspek dilihat memukul bahagian belakang kepala anak perempuannya sehingga terhantuk pada bucu bangku, menyebabkan kecederaan di bahagian kening kanan,” katanya dalam satu kenyataan.
Susulan kejadian itu, polis menahan suspek di sekitar Mata Ayer bagi membantu siasatan. Mangsa yang berusia empat tahun telah menerima rawatan susulan akibat kecederaan dialaminya.
Kes ini disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001, dan suspek dijangka akan dibawa ke mahkamah untuk permohonan reman.
Kredit: Berita Harian