Baru-baru ini tular di media sosial yang memaparkan sebuah pusat hiburan yang terletak di Jalan Kwan Seng, Kuala Lumpur terbakar selepas disyaki dilempar dengan bom petrol pada Khamis angkara perbuatan khianat.
Video di bawah:
https://x.com/update11111/status/1788767402148384773?s=46&t=lOtDPMyIYmtDu_EQulWeUw
Pelaku Baling 2 Bom Petrol
Menerusi video yang dimuat naik oleh @update11111 di laman X, ia menyaksikan empat individu lelaki yang menaiki dua motosikal dan berhenti di hadapan premis terbabit telah membaling dua bom petrol sebelum beredar dari lokasi kejadian.
Selepas premis berkenaan terbakar, terdapat beberapa orang awam yang berada di lokasi kejadian cuba untuk memadamkan api yang sedang marak.
Disyaki Perbuatan Khianat
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Dang Wangi iaitu Superintendan Nazron Abd Yusof berkata, pihaknya mengesahkan sudah menerima laporan berhubung kejadian berkenaan.
“Kita ada menerima laporan berhubung kejadian itu dan membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan atas kesalahan khianat dengan api.
“Siasatan lanjut berhubung kes ini sedang dijalankan. Berdasarkan rakaman CCTV itu, kejadian berlaku pukul 2.18 pagi tadi tetapi masa sebenar kejadian masih disiasat,” katanya.
Kredit: X update11111