Pelakon Que Haidar mengesahkan bahawa dia dan Linda Jasmine telah sah bercerai dengan talak satu pada 2 Julai lalu, mengakhiri perkahwinan mereka yang telah dibina selama 15 tahun.

Sah Bercerai Talak Satu Pada 2 Julai Lalu

Dalam satu kenyataan yang dipetik daripada laporan Mstar, pelakon yang bernama penuh Tengku Iskhan Shah bin Tengku Haidar ini menyatakan bahawa walaupun jodoh mereka tidak berpanjangan, beliau reda dengan ketentuan Ilahi.

Que turut berkongsi bahawa hubungan dengan bekas isteri masih baik, dan berharap orang ramai dapat mendoakan kesejahteraan buat dirinya dan Linda. Menurutnya, perpisahan adalah sesuatu yang tidak diinginkan oleh sesiapa pun.

“Allahuakbar, Alhamdulillah itu (penceraian) yang Allah aturkan. Saya minta semua doakan terbaik untuk saya dan Linda… Kami masih baik, tiada siapa mahu bercerai.

“Mungkin ini jalan terbaik, kami masih berkawan demi anak-anak. Penceraian kami berlaku pada 2 Julai lalu,” katanya.

Tambah Que, sebab di sebalik perpisahan mereka akan terus disimpan sebagai hal peribadi, kerana menurutnya, perkara seperti ini tidak perlu dihebahkan kepada umum. Anak-anak mereka juga menerima keputusan tersebut dengan baik, menunjukkan kematangan dalam memahami situasi ini.

“Hal rumah tangga merupakan hal peribadi. Perkara seperti ini (penceraian) bukanlah untuk dibanggakan. Lebih baik simpan sendiri, doakan terbaik.

“Kami masih saling memberikan sokongan, apa terbaik untuk kami berdua dan anak-anak. Tidak ada benda perlu diuar-uarkan atau dikongsi.

“Hubungan kami masih sangat baik dan Alhamdulillah anak-anak juga terima semua ini dengan matang. Tiada perbalahan antara kami,” tambahnya lagi.

Untuk makluman, Que Haidar dan Linda Jasmine mendirikan rumah tangga pada 14 Februari 2009, dan dikurniakan dua cahaya mata hasil perkongsian hidup mereka, iaitu Tengku Ratu Haidar yang kini berusia 15 tahun dan Tengku Cleopatra Haidar yang berusia 12 tahun.

Linda juga mempunyai seorang anak lelaki berusia 24 tahun daripada perkahwinan pertamanya.

Kredit: mstar

[fbcomments]