fbpx

Situasi di lokasi tanah jerlus berhampiran Jalan Masjid India mencetuskan kekecohan semalam apabila Ibrahim Mat Zin, yang lebih dikenali sebagai ‘Raja Bomoh’, hadir untuk melakukan ritual bagi membantu mencari mangsa yang hilang di kawasan tersebut.

Tujuan Datang Nak Bantu, Bukan Mengacau

Menurut laporan Malaysia Gazette, Ibrahim tiba di lokasi sekitar jam 6.15 petang dan memulakan demonstrasi ritual yang dikenali sebagai ‘air berlaga’ di hadapan para pengamal media. Beliau menjelaskan tujuan kedatangannya adalah untuk membantu, bukan mengganggu usaha mencari mangsa yang telah berlarutan selama lima hari tanpa sebarang penemuan.

“Tujuan kita datang nak membantu bukan nak kacau orang kerana saya tengok dah lima hari dalam You Tube dan Tik Tok orang cari tak jumpa.

“Tapi kalau saya bawa kelapa, bawa teropong nanti heboh terus. Saya bawa air belaga untuk dicurahkan kat bawah tu supaya dijauhkan daripada haiwan berbisa berbahaya dan dipermudahkan operasi.

“Kemudian ada kain dan kapas kita nak tenggok supaya tenggelam atau tidak, mudah- mudahan timbul. Saya datang ni bukan saja datang, orang tertentu arahkan saya datang,” katanya.

Ibrahim turut menjelaskan bahawa beliau membawa kain dan kapas untuk melihat sama ada ia tenggelam atau tidak, dengan harapan ia akan timbul sebagai petunjuk. Bagaimanapun, hasratnya untuk melakukan ritual tersebut tidak kesampaian kerana pihak berkuasa tidak membenarkannya atas faktor keselamatan.

Susulan kejadian itu, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan akan memanggil Ibrahim Mat Zin untuk menjelaskan tindakannya yang telah menimbulkan kegelisahan awam dan salah faham mengenai agama Islam dalam kalangan masyarakat. Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Mohd Na’im Mokhtar, menyatakan bahawa Ibrahim kini berada di bawah pengawasan Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan mengikut Seksyen 129 Akta Tatacara Jenayah Syariah Wilayah-Wilayah Persekutuan 1997, berikutan amalan ritualnya sebelum ini.

Untuk makluman, Raja Bomoh mula mencuri perhatian umum pada tahun 2014 apabila beliau melakukan ritual di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur dengan menggunakan dua biji kelapa dan teropong buluh dalam usaha mengesan pesawat MH370 yang hilang. Tidak hanya itu, pada Februari 2017, beliau juga mengadakan ritual di Institut Perubatan Forensik Negara di Hospital Kuala Lumpur, yang bertujuan untuk ‘memagar negara’ daripada ancaman Korea Utara.

Tindakan Ibrahim ini akhirnya membawa kepada penahanannya pada April 2017 oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan, di mana beliau didakwa mengikut Seksyen 7(a) Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 atas kesalahan menghina agama Islam. Mahkamah kemudian memerintahkannya untuk berkelakuan baik selama enam bulan, serta menjalani kelas akidah dan fardu ain. Ibrahim juga membuat pengakuan taubat secara terbuka selepas itu.

Kredit: Malaysia Gazette

[fbcomments]