Seorang individu tampil memberikan penjelasan bagi meleraikan kekeliruan yang timbul berhubung kematian pensyarah Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Pahang, Allahyarhamah Nurhazwani Abd Halim, 34, yang dilaporkan meninggal dunia di kolam renang sebuah hotel di Chukai, Sabtu lalu.

Individu Tampil Betulkan Salah Faham Isu Kematian Pensyarah UiTM Di Kolam Renang Hotel

Menurut individu dikenali sebagai Khalif Sidratul Muntaha, yang mendakwa mengenali keluarga arwah dan turut hadir pada majlis pengebumian, tularnya dakwaan kononnya suami mangsa menjadi punca kematian adalah tidak benar sama sekali.

“Saya rasa terpanggil untuk perbetulkan salah faham yang menyebabkan suami arwah difitnah oleh netizen yang tidak tahu cerita sebenar. Ramai yang menuduh beliau sebagai suspek hanya kerana tajuk berita yang mengelirukan,” katanya dalam satu hantaran di Threads.

Jelasnya, tajuk berita yang menggunakan frasa “pensyarah wanita lemas dalam kolam renang hotel” tidak mencerminkan keadaan sebenar yang berlaku.

“Untuk rekod, arwah tidak mati lemas. Beliau sebenarnya pengsan secara tiba-tiba ketika berada di dalam kolam renang bersama suaminya. Arwah juga pandai berenang,” katanya.

Khalif menjelaskan, suami mangsa segera cuba menyelamatkan isterinya dan melakukan bantuan pernafasan (CPR), namun usaha itu tidak berjaya.

“Punca sebenar mungkin disebabkan kehilangan kesedaran secara tiba-tiba sama ada sawan, serangan jantung atau ‘syncopal attack’. Namun yang pasti, bukan lemas seperti yang difahami ramai,” ujarnya.

Beliau turut menyatakan rasa kecewa terhadap laporan media yang disifatkannya sebagai mengelirukan hingga menyebabkan suami arwah berdepan kecaman serta tuduhan tidak berasas.

“Betapa sedihnya suami yang baru kehilangan isterinya secara mengejut, kini menanggung pula fitnah dan tuduhan liar. Saya sendiri melihat betapa remuk hatinya,” katanya.

Khalif turut mendakwa Allahyarhamah sedang hamil tiga bulan ketika kejadian berlaku, selain mendoakan agar roh arwah dicucuri rahmat dan suaminya diberi kekuatan menghadapi dugaan berat itu.

Sementara itu, seorang pengguna media sosial menggunakan nama @theotherjourneyyyy tampil membela pihak media dengan menjelaskan bahawa laporan tersebut sebenarnya berpandukan kenyataan rasmi polis.

“Maafkan saya tuan. Jika dirujuk pada sidang akhbar daripada pihak polis, polis yang menyatakan ‘dia tiba-tiba disedari lemas oleh suaminya’. Wartawan hanya menulis berdasarkan sidang akhbar dari pihak polis,” tulisnya di ruangan komen.

Menurutnya, hampir semua portal berita menggunakan tajuk yang sama kerana berpandukan kenyataan rasmi yang seragam.

“Sebab itu hampir semua media yang hadir sidang akhbar menggunakan tajuk yang sama. Jadi dalam hal ini, saya rasa pihak polis yang perlu betulkan kenyataan,” jelasnya.

Terdahulu, media melaporkan bahawa mangsa yang bertugas di Akademi Pengajian Bahasa, UiTM Cawangan Pahang, ditemui tidak sedarkan diri oleh suaminya di kolam renang hotel kira-kira jam 5.30 petang.

Mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan sebelum jenazah dibawa ke Hospital Kemaman untuk tindakan lanjut.

Allahyarhamah kemudian selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bandar Baru Bangi (Sungai Tangkas), Kajang, malam semalam.

Kredit: Threads khalifsidratul

 

[fbcomments]