Pengasas Rumah Bonda iaitu Siti Bainun Ahd Razali dilaporkan kekal bersalah oleh Mahkamah Tinggi pada Khamis atas dua pertuduhan yang dikenakan iaitu mengabaikan dan menganiaya seorang remaja perempuan sindrom down, dikenali sebagai Bella pada tiga tahun yang lalu.
Rayuan Siti Bainun Ditolak
Memetik laporan Harian Metro, Hakim Datuk Noorin Badaruddin membuat keputusan itu selepas menola rayuan Siti Bainun, 32, selaku perayu untuk mengetepikan sabitan dan hukuman yang diputuskan oleh Mahkamah Sesyen.
Pada Mei 2023, Hakim Mahkamah Sesyen Izralizam Sanusi Izraliza menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun terhadap Siti Bainun selepas tertuduh didapati bersalah atas dua pertuduhan dikenakan keatasnya yang mengabai dan menganiaya Bella, 13.
Tertuduh turut diperintahkan untuk menjalani hukuman penjara dan dihantar ke Penjara Kajang serta merta selepas mahkamah menolak permohonannya untuk menangguhkan hukuman.
Fakta Kes
Berdasarkan pertuduhan pertama dan kedua, tertuduh didakwa mengabai dan menganiaya mangsa yang berusia 13 tahun itu sehingga menyebabkan remaja tersebut mengalami kecederaan fizikal dan mental dalam kejadian di sebuah kondominium yang terletak di Wangsa Maju pada Februari hingga Jun 2021.
Pendakwaan tersebut mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya sekali.
Bagi pertuduhan pertama, tertuduh dijatuhi hukuman penjara selama 10 tahun, manakala bagi pertuduhan kedua, tertuduh dikenakan hukuman penjara 12 tahun dan kedua-dua hukuman itu berjalan serentak bermula tarikh sabitan.
Selain dari hukuman penjara, Siti Bainun juga diarahkan untuk melaksanakan khidmat masyarakat selama 200 jam yang perlu disempurnakan dalam tempoh enam bulan selepas tamat hukuman penjara.
Kredit: Harian Metro