Seorang pelajar berusia 16 tahun meninggal dunia selepas rebah sebaik menamatkan acara merentas desa di sebuah sekolah di Sungai Petani, Kedah.
Kejadian tragis itu berlaku ketika pelajar berkenaan, Muhammad Haziq Uzayr Hairuddin, tiba di garisan penamat selepas berlari sejauh enam kilometer.
Rebah di Garisan Penamat, Pelajar Tingkatan Empat Maut Ketika Merentas Desa
Menurut sumber, mangsa tidak menunjukkan sebarang tanda keletihan sebelum insiden berlaku. Namun, sebaik tiba di garisan penamat, dia tiba-tiba rebah dan tidak sedarkan diri. Guru bertugas bersama pelajar yang merupakan ahli Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) segera memberikan rawatan kecemasan sebelum menghantarnya ke hospital.
Bagaimanapun, Muhammad Haziq disahkan meninggal dunia dalam perjalanan mendapatkan rawatan.
Rakan baik mangsa, Putra Hafiz Zaidi, berkongsi bahawa mereka berdua berjanji untuk menghabiskan larian bersama. Namun, dia tidak menyangka perancangan tersebut berakhir dengan pemergian sahabatnya lebih awal.
“Memang kami bersemangat dan menyasarkan untuk tiba ke garisan penamat lebih awal daripada pelajar lain, tetapi dia memecut laju meninggalkan saya di belakang.
“Bila saya sampai di garisan penamat saya nampak dia rebah tidak sedarkan diri sebelum guru bertugas dan pelajar yang merupakan ahli Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) sedang memberi rawatan kecemasan,” katanya.
Jenazah Allahyarham dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, bagi menjalani bedah siasat sebelum dibawa pulang ke kediaman keluarga untuk urusan pengebumian.
Kredit: Kosmo!