Seorang remaja lelaki berusia 18 tahun dilaporkan rebah dan meninggal dunia akibat serangan jantung ketika menonton perlawanan bola sepak di Stadium Darul Aman, malam tadi.
Video di bawah:
https://x.com/buletintv3/status/1814440891064692970?s=46&t=lOtDPMyIYmtDu_EQulWeUw
Remaja Rebah Dan Tak Sempat Diselamatkan
Ketua Polis Daerah Kota Setar, ACP Siti Nor Salawati Saad menyatakan bahawa remaja tersebut hadir ke stadium bersama adiknya untuk menyaksikan perlawanan antara KDA FC dan JDT FC.
Mangsa tiba-tiba rebah dan tidak sedarkan diri ketika berada di tempat duduk penonton sekitar pukul tujuh malam, sebelum perlawanan bermula. Orang ramai yang menyaksikan kejadian tersebut segera menghubungi Pasukan Pertahanan Awam yang bertugas di stadium untuk mendapatkan bantuan.
Remaja tersebut kemudian dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar untuk menerima rawatan.
Setibanya di Zon Kecemasan HSB, pegawai perubatan mengesahkan bahawa remaja tersebut telah meninggal dunia.
Menurut semakan dan temubual dengan waris, mangsa telah menghidap penyakit jantung sejak kecil. Pihak perubatan HSB mengesahkan bahawa punca kematian adalah “Complex Cyanotic Heart Disease,” yang berkaitan dengan masalah jantung yang dihadapinya sejak kecil.
ACP Siti Nor Salawati mengesahkan bahawa pihak polis menerima laporan mengenai kematian remaja tersebut pada pukul 8.18 malam.
Hasil siasatan mendapati tiada unsur jenayah dalam kejadian ini, dan kematian diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
Kredit: Buletin TV3