Seorang imam masjid dilaporkan meninggal dunia selepas dikatakan rebah ketika menyampaikan kuliah Maghrib dalam kejadian di Masjid Al Falah, Kampung Bukit Nambua, Kuala Nerang pada Rabu malam.
Imam Meninggal Dunia
Berdasarkan laporan Sinar Harian, Allahyarham Ismail Md Taib, 75, disahkan meninggal dunia selepas solat Maghrib kira-kira jam 8.30 malam.
Ketua Polis Daerah Padang Terap iaitu Deputi Superintendan Mulkiaman Manzar memaklumkan bahawa, mangsa difahamkan rebah ketika menyampaikan kuliah agama dan sewaktu kejadian, anaknya turut berada disamping Allahyarham.
Katanya, Allahyarham yang lebih mesra dipanggil sebagai Paksu Eil kemudiannya digegaskan ke Hospital Kuala Nerang untuk mendapatkan rawatan sebelum disahkan meninggal dunia.
“Namun, dia mempunyai rekod masalah kesihatan seperti kencing manis, darah tinggi dan kolesterol. Warga emas itu meninggal dunia disebabkan sakit tua dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” jelasnya.
Tiba-Tiba Diam Sebelum Rebah Ke Lantai
Sementara itu, anak Allahyarham iaitu Muhammad Faiz Helmi, 32,memaklumkan bahawa kejadian tersebut berlaku ketika bapanya sedang menyampaikan kuliah agama di hadapan lebih 40 orang jemaah di masjid berkenaan. Katanya, bapanya sedang mengajar namun secara tiba-tiba bapanya mendiamkan diri sebelum rebah ke lantai.
“Ketika itu suasana menjadi sepi sebelum arwah yang duduk di ruang hadapan saf rebah ke kiri.
“Saya dan ahli jemaah lain bergegas ke situ dan dimaklumkan arwah sudah tidak bernyawa sebelum membawanya ke Hospital Kuala Nerang. Bagaimanapun doktor mengesahkan ayah meninggal dunia di situ,” ujarnya.
Difahamkan, Allahyarham aktif mengajar kitab di mana-mana sahaja sejak berhenti mengajar sekolah agama. Namun, apabila umurnya sudah menginjak usia, Allahyarham banyak menumpukan perhatian di masjid dan surau berdekatan kerana masalah kesihatan.
“Arwah bapa juga menghidap penyakit tiga serangkai. Ketika kejadian, saya berada di rumah dan rakan arwah ada memberitahu bapa mengadu sakit dada sebelum memulakan kuliah selepas Maghrib itu namun arwah tetap mahu meneruskan kuliah itu juga,” katanya.
Jenazah Allahyarham Ismail selamat dikebumikan di tanah perkuburan Islam di masjid berkenaan pada jam 11 pagi semalam.
Kredit: Sinar Harian