fbpx

Seorang jemaah haji lelaki baru-baru ini dilaporkan meninggal dunia selepas mengalami serangan jantung sebaik sahaja habis melakukan ibadah tawaf umrah.

Rebah Akibat Serangan Jantung Dan Meninggal Dunia

Difahamkan perkara tersebut dimaklumkan oleh Ketua Delegasi Haji Malaysia iaitu Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman.

Berdasarkan kenyataan dari isteri kepada jemaah Mohd Zahir Ismail, 58, iaitu Pauziah Othman, suaminya sedang menunaikan tawaf umrah pertama bersama dengan rakan jemaah dari Maktab 78 pada Rabu malam.

Mohd Zahir bagaimanapun dikatakan rebah akibat serangan jantung di kawasan mataf iaitu kawasan lapang sekitar Kaabah di samping isteri yang sama-sama melakukan tawaf umrah pertama, sebaik tiba di Makkah dengan menaiki penerbangan KT66 pada malam sama.

“Pak cik (suami) orang yang baik. Dia orangnya lucu, selalu buat kelakar,”ujar Pauziah.

Pauziah turut menambah, ketika kejadian, dia dan arwah baru selesai melaksanakan ibadah tawaf dan bergerak ke arah tempat untuk menunaikan solat sunat tawaf.

“Arwah berjalan di belakang sambil memegang saya. Dia ada mengadu beberapa-kali dia ada mengatakan terlalu penat dan saya katakan sabar.

“Kita buat perlahan-lahan. Hinggalah habis dan kami sedang berjalan untuk melaksanakan solat sunat tawaf,” ceritanya.

Tiada Sebarang Penyakit, Terkejut Suami Pergi Dengan Tiba-Tiba

Selepas Mohd Zahir rebah dan tidak sedarkan diri, dia kemudiannya dibawa menaiki buggy untuk dibawa ke klinik masjid oleh beberapa askar yang datang membantu.

Tiba sahaja di klinik, doktor yang merawat Allahyarham memanggil masuk lalu memaklumkan bahawa suaminya sudah tiada.

“Agak terkejut juga sebab dia pergi secara tiba-tiba,” katanya lagi yang sama-sama mendaftar haji pada 2009.

Menurut Pauziah, arwah suaminya tidak mempunyai sebarang rekod penyakit dan tidak merungut ketika menjaga ibunya yang sakit dan dia sangat rapat dengan ibunya itu.

Jenazah Mohd Zahir Ismail disolatkan selepas waktu Zohor di Masjidilharam, kelmarin sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Syaraiee, Makkah.

Allahyarham yang meninggal ketika melakukan tawaf dikafankan menggunakan kain ihram yang digunakan dan mukanya tidak ditutup.

Kredit: Harian Metro

[fbcomments]