fbpx

Seorang remaja lelaki ditahan pihak polis selepas dikejar kira-kira sejauh 10 kilometer yang dipercayai berlaku di Chukai pada petang semalam. Menurut sumber BH Online, kejadian yang membabitkan remaja yang berumur 13 tahun memandu sejenis kereta Proton Saga memandu secara melulu dan bertindak melarikan diri selepas terserempak dengan anggota polis.

Gambar sumber BH Online

Pandu Melawan Arus Sambil Memecut Laju Selepas Bertembung Dengan Polis

Berdasarkan kenyataan dari Ketua Polis Daerah Kemaman iaitu Superintendan Hanyan Ramlan, anggota polis trafik sedang melakukan Ops Lancar dan samseng jalanan di kawasan Kemaman Waterfront sebelum kejadian tersebut berlaku. Beliau juga menambah remaja terbabit bertindak memandu dalam keadaan melawan arus dan memecut laju untuk melarikan diri daripada ditangkap polis.

“Polis kemudiannya bertindak mengejar remaja terbabit selepas tidak mengendahkan arahan biarpun anggota polis beberapa kali meminta dia memberhentikan kenderaannya itu”, jelasnya.

Melarikan Diri Bersama Empat Orang Rakan

“Kenderaan yang dipandu remaja itu mendatangkan bahaya kepada pengguna jalan raya yang lain termasuk memotong barisan serta melanggar isyarat lampu merah di persimpangan stesen bas Geliga dan Mak Lagam”, jelas Hanyan Ramlan.

Beliau turut berkata remaja itu akhirnya memberhentikan kenderaan sebelum bertindak melarikan diri bersama empat orang rakannya dan kesemua remaja itu adalah berusia di antara 13 tahun hingga 16 tahun.

Polis telah menahan kesemua remaja terbabit untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Pihak polis juga turut mengeluarkan saman kepada pemilik kenderaan terbabit iaitu ibu kepada remaja tersebut.

Kredit: BH Online

[fbcomments]