Seorang remaja lelaki berusia 13 tahun menjadi tumpuan setelah tersebar luas di Facebook mengenai nasib malangnya yang terpaksa tidur di koridor hadapan rumah akibat dihalau oleh ibu bapanya.

Kena Halau Dari Rumah Selama 4 Hari, Terpaksa Buang Air Besar Di Tangga

Menurut hantaran di dalam kumpulan komuniti kawasan terbabit, jiran-jiran mendapati remaja tersebut telah beberapa hari dibiarkan di luar rumah tanpa dibenarkan masuk.

Salah seorang jiran melaporkan bahawa kejadian ini bukanlah kali pertama, malah sering berulang.

“Remaja yang masih di Tingkatan 1 ini sering diabaikan oleh ibu bapanya, dan kali ini dia sudah hampir empat hari tidak dibenarkan masuk ke rumah. Ini bukan kali pertama dia diperlakukan sebegini. Sering kali dia terpaksa buang air besar di tangga kerana tidak boleh masuk rumah,” kata salah seorang jiran.

Walaupun menghadapi keadaan yang menyedihkan, remaja tersebut tetap menjalankan rutinnya sebagai seorang pelajar sekolah. Jiran-jiran di kawasan tersebut juga memberikan makanan kepadanya kerana simpati terhadap nasibnya yang diabaikan oleh ibu bapa sendiri.

Difahamkan kejadian ini dilaporkan berlaku di sebuah rumah pangsapuri kos rendah di Pasir Gudang, Johor.

Ibu Bapa Remaja Berkenaan Telah Ditahan Polis

Selepas hantaran tersebut tular, Ketua Polis Daerah Seri Alam iaitu Superintenden Mohd. Sohaimi Ishak mengesahkan bahawa ibu bapa remaja berkenaan, yang berumur 54 dan 56 tahun, telah ditahan oleh pihak polis.

Katanya, gambar yang dimuat naik oleh pengendali akaun Facebook Group Komuniti Taman Air Biru mula dikesan oleh pihak polis semalam, yang kemudiannya membawa kepada siasatan lanjut.

“Hasil siasatan awal menunjukkan bahawa remaja berkenaan telah diabaikan oleh ibu bapanya dan terpaksa tidur di kaki lima perumahan tersebut selama empat hari, sejak Ahad lepas sehingga semalam (Rabu),” kata Mohd. Sohaimi dalam satu kenyataan.

Semakan lanjut mendapati suspek lelaki mempunyai dua rekod jenayah lampau, namun hasil ujian saringan air kencing kedua-dua suspek menunjukkan mereka negatif dadah.

Sehubungan itu, pasangan suami isteri berkenaan telah ditahan reman selama lima hari. Kes ini disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Kredit: FB Komuniti Taman Air Biru, Majoriti Official

[fbcomments]