Seorang remaja perempuan berusia 14 tahun ditahan pihak berkuasa setelah didapati menyamar sebagai kakitangan di Hospital Sultan Idris Shah (Hospital Serdang) semalam.
Dalam kejadian yang mengejutkan itu, remaja tersebut malah menawarkan diri untuk membantu dalam satu pembedahan di hospital berkenaan.
Remaja 14 Tahun Menyamar Jadi Kakitangan Hospital
Ketua Polis Daerah Sepang iaitu Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Yusof memaklumkan bahawa pihak hospital telah mengesan kehadiran suspek yang mencurigakan. Bertindak atas rasa tanggungjawab, pihak hospital segera melaporkan insiden tersebut kepada pihak polis.
Menurut beliau, remaja itu cuba mendaftarkan dirinya di kaunter hospital dengan menggunakan identiti palsu, namun tindakan tersebut berjaya dihidu oleh kakitangan hospital. Suspek kemudian ditahan di lobi hospital dengan beberapa barang rampasan termasuk sehelai baju scrub, seluar bedah, dan lanyard yang merupakan hak milik hospital berkenaan.
Kes kini sedang disiasat di bawah Seksyen 448 Kanun Keseksaan atas kesalahan menceroboh dan Seksyen 170 Kanun Keseksaan atas kesalahan menyamar sebagai penjawat awam.
Jika sabit kesalahan menceroboh, suspek boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda maksimum RM5,000 atau kedua-duanya sekali. Manakala, bagi kesalahan menyamar sebagai penjawat awam, hukuman yang boleh dikenakan adalah penjara sehingga dua tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali.
Asisten Komisioner Wan Kamarul turut menasihatkan orang ramai agar tidak menyebarkan spekulasi atau berita palsu berhubung kejadian ini, dan menegaskan bahawa pihak berkuasa akan mengambil tindakan sewajarnya bagi menangani isu tersebut.
Kredit: Harian Metro