Seorang remaja perempuan berusia 14 tahun yang dilaporkan hilang dari rumah keluarganya di Kepong sejak empat hari lalu telah berjaya ditemui oleh pihak polis di Batu Pahat, Johor.
![]()
Empat Hari Hilang, Remaja Perempuan Ditemui Bersama Lelaki 47 Tahun Dikenali Secara Online
Kehilangan remaja itu mencetuskan kebimbangan dalam kalangan ahli keluarga setelah dia gagal dihubungi sejak keluar dari rumah. Menurut laporan Sin Chew Daily, siasatan awal mendedahkan remaja terbabit dipercayai mahu bertemu dengan seorang lelaki berusia 47 tahun yang dikenalinya menerusi permainan dalam talian.
Bapanya yang bekerja di Singapura memaklumkan bahawa remaja itu tinggal bersama ahli keluarga lain di Kuala Lumpur. Kecurigaan mula timbul apabila seorang rakan kakak remaja tersebut terlihat dia menaiki sebuah kenderaan SUV putih bersama seorang lelaki di kawasan Kepong, beberapa minggu sebelum kehilangannya.
![]()
Gambar yang diambil oleh individu tersebut dikongsikan kepada kakak remaja berkenaan sebelum disampaikan kepada bapa mereka. Ketika dihubungi, remaja itu mengakui bahawa lelaki berkenaan ialah teman lelakinya yang dikenali menerusi platform permainan dalam talian, namun dia enggan pulang ke rumah ketika itu.
Bapa mangsa turut memaklumkan bahawa keluarganya sudah cuba menasihati anaknya agar menjauhkan diri daripada lelaki tersebut, namun gadis itu tetap mempertahankan hubungan mereka dan mendakwa lelaki tersebut berharta.
Pihak berkuasa kini sedang menjalankan siasatan lanjut berhubung kes ini, termasuk latar belakang lelaki terbabit serta kesahihan hubungan mereka yang membabitkan perbezaan usia yang sangat ketara.
Kredit: Sin Chew Daily