Remaja lelaki berusia 16 tahun yang memandu kereta milik ibunya dan telah mencetuskan kemalangan hingga membabitkan dua mangsa maut di Kilometer 1.9 Jambatan Pulau Pinang menuju ke arah Perai pada Sabtu dilaporkan dibebaskan dengan jaminan polis.
Tidak Mempunyai Lesen Memandu Dan Masih Bersekolah
Berdasarkan sumber yang dilihat dari Sinar Harian, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah Asisten Komisioner Tan Cheng San memaklumkan bahawa sebaik sahaja selesai merekodkan keterangan dari remaja terbabit, dia kemudiannya dibebaskan selepas tahanan reman ke atasnya tamat pada semalam, Ahad.
“Melalui siasatan terhadap remaja itu mendapati dia tidak mempunyai sebarang lesen memandu dan masih bersekolah. Ketika kejadian dia yang memandu kereta milik ibunya dalam perjalanan pulang ke rumah di Bukit Mertajam selepas bertemu dengan rakannya,” jelasnya.
Polis Keluarkan Saman Dekat Keluarga Remaja Berkenaan
Sementara itu, Cheng San turut berkata polis sedang melengkapkan siasatan termasuk menghantar sampel darah ke Jabatan Kimia Pulau Pinang untuk ujian alkohol dan dadah untuk tindakan selanjutnya.
“Polis juga mengeluarkan saman ke atas ibu remaja terbabit kerana cuai dengan membenarkan anaknya menggunakan kenderaannya tanpa lesen,” katanya lagi.
Terdahulu, media melaporkan dua individu dipercayai pasangan tunang maut selepas motosikal dinaiki mereka berdua dilanggar sebuah kereta yang dipandu remaja lelaki terbabit. Ekoran impak kemalangan terbabit menyebabkan kedua-dua mangsa yang berasal dari Perak itu mengalami cedera parah dan maut di lokasi kejadian.
Kredit: Sinar Harian