Seorang pelajar berusia 18 tahun berdepan cabaran tidak dijangka apabila permohonannya untuk membuka akaun bank bagi tujuan penyaluran pinjaman pendidikan PTPTN ditolak oleh dua buah bank berbeza gara-gara didakwa tersenarai dalam rekod hitam sistem perbankan negara sejak usianya sembilan tahun.

Remaja 18 Tahun Terkejut Disenarai Hitam Sejak Usia 9 Tahun, Akaun Bank Masih Gagal Dibuka

Menurut laporan Kwong Wah, remaja yang dikenali sebagai Zhou Deli itu terkejut apabila semakan mendapati namanya dimasukkan ke dalam senarai hitam berkaitan aktiviti kewangan mencurigakan seawal tahun 2016, iaitu ketika beliau masih kanak-kanak dan belum pernah mempunyai sebarang urusan dengan institusi kewangan.

Zhou Deli kemudiannya hadir ke sebuah cawangan Bank Negara di Pulau Pinang pada 11 Mac untuk mendapatkan penjelasan. Semakan melalui CCRIS bagaimanapun menunjukkan rekod kewangannya adalah bersih.

Namun, usaha untuk membuka akaun di Maybank cawangan Queensbay Mall selepas itu juga menemui jalan buntu apabila permohonannya sekali lagi ditolak. Malah, menurut pengurus bank, beliau kini tidak boleh membuka akaun di mana-mana bank dalam negara.

“Saya sangat terkejut sebab masa itu saya baru 9 tahun, tak pernah ada akaun bank pun,” jelasnya dalam satu sidang media.

Rentetan itu, Zhou Deli membuat laporan polis pada 13 Mac dan kembali ke Bank Negara pada 17 Mac. Di sana, beliau dinasihatkan supaya menyemak laporan melalui sistem maklumat CTOS bagi mendapatkan gambaran lanjut.

“Saya dah semak juga melalui eWallet Touch ‘n Go dan semak dengan Mahkamah Tinggi Pulau Pinang, tapi semuanya normal. Tak ada apa-apa rekod pelik. Tapi masalah ni masih belum selesai,” katanya lagi.

Menurut Ketua Biro Aduan Awam MCA Pulau Pinang, senarai hitam yang dikenali sebagai “tipping offensive” biasanya dikaitkan dengan kes-kes berat seperti pengubahan wang haram, pembiayaan aktiviti keganasan atau transaksi mencurigakan. Beliau turut mempersoalkan bagaimana seorang kanak-kanak semuda itu boleh terlibat dalam isu sebesar itu.

Dalam sidang media yang sama, bapa Zhou Deli menjelaskan bahawa beliau hanya bekerja sebagai kontraktor ubah suai, manakala isterinya suri rumah sepenuh masa. Kedua-duanya mempunyai akaun bank sendiri dan tidak pernah berdepan sebarang masalah undang-undang atau kewangan.

“Kalau betul kami buat salah, kami takkan tampil minta bantuan macam ni. Itu macam menampar muka sendiri,” katanya.

Difahamkan, Zhou Deli telah diterima masuk ke sebuah kolej dan dijadual menerima dana PTPTN pada bulan Ogos ini. Namun, selagi beliau tidak dapat membuka akaun bank, proses penyaluran dana pendidikan tersebut tidak dapat diteruskan.

Kredit: Kwong Wah

 

[fbcomments]