Terdahulu telah kecoh seorang remaja hilang di Jasin, Melaka. Namun, pada Ahad, polis mengesahkan bahawa bapa tiri dan ibu kandung remaja tersebut telah direman kerana dipercayai terlibat dalam kejadian rogol membabitkan anak perempuan mereka sejak tiga tahun lalu.
Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintendan Ahmad Jamil Radzi berkata suspek yang merupakan bapa tiri serta ibu kandung mangsa masing-masing berusia 36 dan 40 tahun itu ditahan kira-kira jam 9.30 malam Sabtu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA 2) sejurus tiba dari Sabah.
“Mangsa membuat laporan polis di ibu pejabat polis Jasin pada 6 April, mendakwa dia diserang secara seksual (beberapa kali) oleh bapa tirinya sejak 2020,” katanya pada Ahad.
Ahmad Jamil berkata, pasangan itu direman sehingga 15 April ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol.
Pada 6 April lalu, dilaporkan remaja yang hilang sejak 20 hari lalu ditemukan selamat. Remaja itu ditemui di sebuah pangsapuri di Kampar, Perak pada 3.30 petang, 5 April lalu bersama seorang rakan lelaki berusia 20 tahun.
Beliau berkata, gadis itu mengaku keluar dari rumahnya secara sukarela dan tinggal bersama rakannya sejak 18 Mac lalu.Polis kemudian melakukan siasatan mengenai punca remaja itu keluar dari rumahnya di Jasin dan tinggal bersama rakannya di Perak.
Sumber: Astro Awani