Seorang remaja tingkatan dua yang dilaporkan hilang sejak Ahad lalu iaitu Muhammad Effzaldanish, akhirnya ditemui dengan selamat semalam.
Remaja Lelaki Ditemui Terpinga-Pinga, Hanya Diam Bila Ditanya
Menurut bapanya, Mohd Effendy Alizuman, 43, anaknya yang merupakan pelajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Alauddin Riayat Shah 1, Pagoh, ditemui di belakang rumah neneknya sekitar jam 10 pagi.
Muhammad Effzaldanish, anak tunggal dalam keluarganya ditemui oleh sepupunya iaitu Siti Nurhalizah Mohd Asri, 23, yang ternampak kelibat remaja itu dalam keadaan kebingungan.
Mohd Effendy menyatakan bahawa sebaik sahaja mendapat tahu tentang penemuan anaknya, dia segera bergegas pulang ke rumah ibunya di Taman Perumahan Awam, Pekan Pagoh, dari Tampin, Negeri Sembilan.
“Alhamdulillah, anak saya telah ditemui dalam keadaan selamat. Saya sangat terharu dan tidak tahu bagaimana untuk mengungkapkan perasaan ini,” katanya.
Sebaik dimaklumkan mengenai penemuan itu, Mohd Effendy terus ke lokasi tersebut sebelum diminta hadir ke balai polis untuk memberikan keterangan.
Beliau menambah, anaknya hanya berdiam diri dan kelihatan bingung apabila diminta menceritakan apa yang sebenarnya berlaku.
“Saya memeluk dan bertanya kepada Muhammad Effzaldanish, tetapi dia hanya berdiam diri. Dia kelihatan bingung dan tidak mampu menceritakan kejadian sebenar,” ujarnya.
Mohd Effendy juga berkongsi perasaan lega setelah anaknya yang hilang selama empat hari itu berjaya ditemui.
“Selama tempoh kehilangannya, saya tidak lena tidur dan fikiran terganggu memikirkan keselamatannya. Saya sangat bimbang sesuatu yang buruk mungkin terjadi padanya,” katanya lagi.
Difahamkan, Muhammad Effzaldanish telah dibawa ke Balai Polis Pagoh sebelum dibawa ke IPD Muar dan seterusnya ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah untuk pemeriksaan lanjut.
Ketua Polis Muar mengesahkan penemuan remaja itu dan menyatakan bahawa Muhammad Effzaldanish kini berada dalam keadaan selamat.
Kredit: Harian Metro, Berita Harian