Seorang remaja lelaki berusia 17 tahun maut selepas terjatuh dari tingkat 14 sebuah pangsapuri di Kuala Terengganu.
Insiden tragis yang berlaku kelmarin mengejutkan keluarga dan rakan-rakannya, apatah lagi apabila kakak mangsa, Nurain Damia, 20, mengingat kembali kelakuan pelik adiknya sebelum kejadian.
Remaja Maut Jatuh Tingkat 14, Kakak Kongsi Kelakuan Pelik Sebelum Kejadian
Menurut Nurain, adiknya, Muhd Irham Tarmizi Rusaini, menunjukkan sikap yang luar biasa sebelum bertolak ke Terengganu untuk bercuti bersama rakan-rakan.
“Dia memeluk dan mencium ibu serta adik bongsu kami berkali-kali. Perkara itu tak pernah dia buat sebelum ini,” katanya.
Difahamkan, Irham dan seorang rakannya bertolak ke Terengganu pada malam Rabu, menaiki kereta sekitar jam 11 malam untuk bertemu beberapa rakan lain di sana. Namun, perjalanan yang sepatutnya membawa kegembiraan bertukar menjadi tragedi.
Nurain menerima panggilan telefon pada jam 3 petang daripada salah seorang rakan arwah, memaklumkan bahawa mereka berada di balai polis.
“Pada awalnya, rakan arwah memberitahu berada di Balai Polis Kuala Terengganu dan beranggapan arwah ada melakukan kesalahan sehingga dibawa ke balai polis.
“Bagi mendapatkan kepastian, saya sekali lagi menghubungi rakan arwah dan dimaklumkan arwah meninggal dunia selepas terjatuh dari sebuah pangsapuri dan mayatnya di bawa ke Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah, Terengganu,” jelasnya.
Sebaik menerima berita tersebut, Nurain bersama ibu dan sepupunya segera ke Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Terengganu.
“Kami tak sangka, percutian yang sepatutnya membawa kegembiraan berakhir dengan kehilangan,” katanya sayu.
Hasil siasatan awal mendapati Irham berada bersendirian di beranda pangsapuri sebelum terjatuh ke tingkat enam.
“Sepatutnya arwah balik daripada bercuti pada hari esok, namun semalam kami menyambut tubuh yang sudah tidak bernyawa,” luahnya lagi.
Kenangan terakhir bersama arwah terus menghantui keluarga. Nurain turut berkongsi bahawa adiknya sempat mengembalikan jam tangan hadiah pemberiannya ketika Hari Raya Aidilfitri tahun lalu, seolah-olah menyimpan makna tersembunyi.
“Lebih memilukan, saya juga tidak sempat membelikan telefon baharu kepada arwah bagi menggantikan telefonnya yang sudah rosak,” tambahnya.
Jenazah Irham selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kelaweh pada awal pagi semalam.
Kredit: Harian Metro