Selepas hampir sebulan menghilang, nasib seorang remaja akhirnya terjawab apabila rangka manusia yang ditemui di sebuah kebun disahkan milik Hafiz Fauzan.

Sahabat Tangisi Pemergian Hafiz Fauzan

Keputusan ujian DNA yang diterima oleh bapanya iaitu Abd Halid Sugiman, mengakhiri penantian selama hampir 10 hari sejak penemuan rangka tersebut pada pagi 25 Jun lalu.

Semalam, Hafiz yang berusia 17 tahun itu telah selamat dikebumikan dan majlis pengebumiannya dihadiri oleh sahabat-sahabat karibnya.

Menerusi sebuah video yang dikongsikan oleh Kosmo!, terlihat rakan-rakannya tidak dapat menahan air mata atas kehilangan sahabat baik mereka dan mengakui mereka amat merindui gelak tawanya.

“Tiada lagi gelak tawa Hafiz, kami cukup merinduinya. Kami tidak pernah berhenti mencarinya selepas dia dilaporkan hilang pada akhir Mei lalu.

“Hafiz seorang yang sangat kuat bersukan dan aktif sertai pertandingan bola sepak untuk wakil sekolah dan negeri.

“Selepas Hafiz dilaporkan hilang, saya dan rakan-rakan yang lain mencari Hafiz hampir setiap hari. Kami keluar pagi, petang balik adakalanya sampai malam baru balik, namun tidak menemuinya,” katanya.

Seorang rakan Hafiz turut berkongsi bahawa arwah sangat aktif dalam pelbagai aktiviti di sekolah. Hafiz dikenali sebagai pemain utama dalam pasukan bola sepak sekolah dan merupakan ahli penting dalam kumpulan nasyid di Sekolah Menengah Agama (SMA) Parit Raja.

Pemergiannya tidak hanya dirasai oleh keluarga tetapi juga oleh seluruh komuniti sekolah yang mengenalinya sebagai seorang yang ceria dan berdedikasi.

Kredit: Kosmo!

 

[fbcomments]