Seorang pelajar lelaki berusia 14 tahun tampil di Mahkamah Majistret Kajang pada Rabu semalam dan mengaku bersalah atas pertuduhan mencederakan seorang guru dalam kejadian yang tular di media sosial baru-baru ini.

Pelajar 14 Tahun Mengaku Salah Tumbuk Guru, Mahkamah Benarkan Jaminan RM1,000

Kes tersebut dikendalikan di hadapan Majistret Fatin Dayana Jalil. Tertuduh, yang merupakan pelajar peralihan tingkatan satu, didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap seorang guru lelaki berusia 29 tahun di sebuah sekolah menengah di daerah ini sekitar jam 4.48 petang pada hari Isnin lalu.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Syafiq Mohd Zulbahrin, memohon jumlah jaminan sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin atas alasan kes mendapat perhatian masyarakat.

Namun, peguam bela remaja terbabit, S Priyalatha, memohon agar jumlah tersebut dikurangkan memandangkan anak guamnya masih bersekolah dan tergolong dalam kategori pesalah juvana.

Selepas mempertimbangkan hujahan kedua-dua pihak, mahkamah membenarkan jaminan sebanyak RM1,000 dengan seorang penjamin. Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 11 September depan sementara menunggu laporan akhlak daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebelum hukuman dijatuhkan.

Sepanjang prosiding berlangsung, pihak media tidak dibenarkan hadir di dalam mahkamah berikutan status tertuduh yang masih di bawah umur. Difahamkan, ibu bapa remaja terbabit turut hadir bagi memberi sokongan moral kepada anak mereka.

Menurut ibunya yang ditemui selepas prosiding, anaknya telah menyedari kesilapannya dan telah memohon maaf kepada guru terbabit. Dia turut meluahkan rasa kesal atas insiden tersebut dan berharap kejadian itu menjadi pengajaran kepada semua pihak.

Sebelum ini, kejadian berkenaan menjadi tular selepas satu rakaman video berdurasi 38 saat memaparkan insiden pergaduhan antara pelajar dan guru dimuat naik ke media sosial. Susulan itu, satu laporan polis dibuat oleh mangsa dan pelajar terbabit ditahan untuk siasatan.

Kredit: Harian Metro

 

[fbcomments]