Dua beranak dilaporkan maut selepas motosikal yang ditunggangi mereka merempuh sebuah lori membawa muatan balak yang diletakkan di bahu jalan dalam kejadian di Kilometer 21 Jalan Kuala Terengganu menghala Kuala Berang dekat Kampung Durian Guling, Terengganu.
Dua Beranak Maut, Ibu Muda Umur 22 Tahun Bersama Anak Beusia 2 Tahun
Menurut Ketua Polis Daerah Marang iaitu Deputi Superintendan Mohd Razman Setapa, beliau memaklumkan bahawa pihaknya menerima laporan berhubung kejadian pada jam 2.25 pagi yang membabitkan mangsa wanita berusia 22 tahun bersama anaknya yang berusia dua tahun.
Difahamkan kedua-dua mangsa yang datang dari arah Kampung Gondang dalam perjalanan ke rumahnya di Felda Bukit Bading, Ajil.
“Lori itu diparkir di bahu kiri jalan. Mangsa disyaki merempuh belakang lori berkenaan di sebelah kanan,” katanya.
Tambahnya lagi, kedua-dua mangsa mengalami kecederaan parah dan meninggal dunia di tempat kejadian.
“Mayat dihantar ke unit forensik Hospital Hulu Terengganu (HHT) untuk dibedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya lagi.
Beliau turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian untuk menghubungi Inspektor Nik Nur Farhanim Nik Mohamed Fauzi di talian 010-2840273 atau 09-6182222.
Kredit: Berita Harian