Baru-baru ini, suasana pilu menyelubungi sebuah sekolah apabila seorang murid Tahun Tiga ditemui lemas selepas terjatuh ke dalam lubang kumbahan dalam satu insiden pada Sabtu.

Di sebalik tragedi menyayat hati itu, muncul seorang lelaki yang dianggap wira apabila sanggup mempertaruhkan nyawanya untuk mengangkat keluar jasad mangsa dari dasar kumbahan.

Wira Tak Didendang, Lelaki Nekad Selam Selamatkan Budak 9 Tahun Jatuh Lubang Kumbahan

Lelaki tersebut, Muhammad Arsyad Jahaya, 35, yang hadir ke sekolah berkenaan bagi menyaksikan acara sukan anaknya, dipanggil seorang guru untuk membantu selepas mengetahui dia memiliki kemahiran berenang. Meskipun pada mulanya ragu-ragu kerana keadaan air kumbahan kelihatan tenang, pengesahan saksi bahawa seorang murid benar-benar terjatuh membuatkan Arsyad segera nekad untuk menyelam.

“Pada mulanya saya teragak-agak nak turun sebab air dalam lubang tu nampak tenang saja, macam tak ada apa-apa berlaku. Tapi bila saksi sahkan memang betul ada murid jatuh, saya terus nekad untuk menyelam,” katanya.

Menurutnya, keadaan dalam lubang kumbahan itu sangat mencabar dengan kedalaman hampir dua meter, suasana gelap dan berbau busuk. Saat menyelam, Arsyad mula mengesan tanda-tanda keberadaan mangsa apabila topi dan kasut murid terbabit timbul ke permukaan. Dengan kekuatan yang ada, dia menyelam semula lalu mengangkat tubuh kecil mangsa dari bawah ketiak sebelum menolaknya ke atas untuk disambut oleh orang ramai.

Arsyad yang bekerja sebagai juruvideo mengakui dirinya masih belum pulih sepenuhnya selepas mengalami kecederaan rusuk akibat kemalangan bulan lalu. Namun, ketika kejadian itu berlaku, dia langsung tidak merasakan kesakitan kerana hanya memikirkan keselamatan mangsa.

“Saya fikir kalau tunggu bomba datang mungkin lambat, jadi saya terus bertindak. Cuma saya terkilan sebab tak dapat selamatkan arwah dalam keadaan masih bernyawa. Kalau saya orang pertama yang tahu, mungkin dia masih hidup,” ujarnya lagi.

Dalam masa sama, Arsyad menegaskan agar masyarakat tidak terburu-buru menyalahkan pihak sekolah, sebaliknya menyerahkan sepenuhnya siasatan kepada pihak berkuasa untuk menentukan punca sebenar insiden.

Kredit: Sinar Harian

[fbcomments]