fbpx

Seorang lelaki warga Bangladesh dijatuhi hukuman penjara selama 22 tahun bersama 15 kali sebatan oleh Mahkamah Sesyen pada Rabu selepas didapati bersalah melakukan perbuatan terkutuk terhadap anak tiri perempuannya yang berusia 13 tahun hingga melahirkan bayi lelaki pada tiga tahun lalu.

Dijatuhi Hukuman

Memetik sumber Berita Harian, Hakim Datin Surita Budin telah menjatuhkan hukuman tersebut terhadap tertuduh yang berusia 44 tahun itu selepas mendengar mitigrasi pertuduhan dan hujahan pemberatan dari pihak pendakwaan.

“Dengan mengambil kira faktor rayuan dan mengambil kira faktor kepentingan awam, mahkamah berpendapat tidak boleh bertolak ansur dengan kes sumbang mahram kerana perbuatan tertuduh adalah terkutuk dan keji. Tertuduh sepatutnya melindungi anak tirinya dan bukan mengambil kesempatan ke atas mangsa yang baru berusia 13 tahun sehingga mengandung dan melahirkan anak,” katanya ketika prosiding keputusan kes pada Rabu.

Beliau turut menambah hukuman berkenaan bermula dari tarikh tertuduh ditangkap pada 20 Februari 2020. Menurutnya, ibu kandung mangsa pula baru sahaja meninggal dunia semasa kejadian berlaku.

Tindakan Tertuduh Umpama Haruan Makan Anak

Hakim Datin Surita turut mengatakan bahawa tindakan tertuduh itu umpama haruan makan anak yang meninggalkan kesan trauma dalam jangka masa panjang dan jangka masa pendek kepada mangsa. Berdasarkan pertuduhan, tertuduh telah melakukan sumbang mahram terhadap anak tiri perempuannya yang ketika kejadian berusia 13 tahun. Kesalahan itu dilakukan pada 15 Februari 2020 jam lebih kurang 10.30 malam di sebuah rumah di Kampung Orang Asli Tekir Mentera di Labu Batu 10 di Seremban.

Jika disabit kesalahan, tertuduh bakal berdepan dengan hukuman penjara tidak lebih daripada 30 tahun, denda RM10,000 dan dikenakan sebatan.

Tertuduh Merayu Untuk Meringankan Hukuman

Difahamkan, tertuduh tidak diwakili peguam dan merayu agar dikenakan hukuman penjara minimun dari tarikh dia ditangkap dan meminta dikecualikan hukuman lain atas alasan pernah menjalani pembedahan tulang belakang yang patah akibat kemalangan jalan raya.

Namun Timbalan Pendakwa Raya Goh Hsiao Tung meminta mahkamah mengenakan hukuman berat terhadap tertuduh kerana kejadian yang menimpa anak tirinya semestinya telah memberi trauma yang akan diingati sepanjang hidupnya.

“Saksi adalah anak tiri yang telah kehilangan ibu yang menghidap kanser otak dan mangsa bergantung sepenuhnya pada tertuduh untuk menjaga dan melindunginya. Tetapi tertuduh telah ambil kesempatan dan menganiaya mangsa empat kali sehingga umur 13 tahun dan sekiranya mangsa tidak mengandung dan isu ini tidak diketahui pihak sekolah, sudah tentu kejadian ini berlanjutan dan tertuduh akan terus mengambil kesempatan terhadapnya,” katanya.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara 22 tahun bermula tarikh tangkap pada 22 Februari 2020 dan 15 kali sebatan.

Kredit: Berita Harian

[fbcomments]