Rumah kediaman pemain pertahanan Selangor FC iaitu Ahmad Khuzaimi Piee dikhabarkan telah dipecah masuk ketika mangsa sedang menjalani latihan di Pusat Latihan Selangor semalam.
Motosikal, Empat Beg Pelbagai Jenama Dan Pasport Antarabangsa Milik Khuzaimi Dicuri
Berdasarkan laporan polis yang beliau kongsikan di laman Instagram, difahamkan Khuzaimi telah kehilangan sebuah motosikal, empat beg pelbagai jenama dan pasport antarabangsanya. Khuzaimi membuat laporan pada jam 11.30 malam selepas pulang daripada sesi latihan berkenaan.
“Pada jam lebih kurang 9 malam semasa saya sampai di rumah saya dapati pintu pagar depan dan belakang telah terbuka. Saya buat pemeriksaan di dalam rumah dan mendapati ada barang-barang yang telah hilang seperti motosikal jenis Yamaha Y15, empat beg silang pelbagai jenama dan pasport. Hasil pemeriksaan awal anggaran dan lain-lain kerugian saya tidak pasti,” menurut laporan polis yang dibuatnya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim ketika dihubungi memberitahu pihaknya akan mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung perkara itu, hari ini.
Kredit: Berita Harian