Spekulasi mengenai keretakan rumah tangga pasangan selebriti popular, Uqasha Senrose dan Kamal Adli akhirnya terjawab apabila pelakon wanita itu dilaporkan telah memfailkan permohonan cerai terhadap suaminya di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur pada 1 Oktober lalu.

Uqasha Senrose Failkan Permohonan Cerai Terhadap Kamal Adli, Hadir Ke Mahkamah Hari Ini

Uqasha, atau nama penuhnya Nik Zaris Uqasha Nik Sen, 33, dijangka hadir ke mahkamah hari ini bagi menghadiri prosiding sebutan kes cerai buat kali pertama.

Menurut sumber yang dipetik oleh Utusan Malaysia, hubungan pasangan berkenaan dikatakan mula berdepan ujian sejak April lalu, namun punca keretakan rumah tangga mereka bukan disebabkan oleh kehadiran orang ketiga.

Difahamkan juga, kedua-duanya kini tidak lagi tinggal sebumbung apabila Uqasha memilih untuk menetap di kediaman ibunya.

Sebelum ini, beberapa hantaran di media sosial milik Uqasha menimbulkan tanda tanya apabila memaparkan luahan hati yang disifatkan oleh warganet seolah-olah berkait dengan masalah rumah tangganya.

Walau bagaimanapun, ketika ditemui pihak media di program MeleTOP malam tadi, Uqasha enggan mengulas lanjut mengenai isu tersebut dan hanya menyatakan bahawa dia “tidak mempunyai suara” untuk memberi sebarang kenyataan.

Untuk rekod, pasangan ini mendirikan rumah tangga pada 5 November 2021 dalam sebuah majlis tertutup yang diadakan di Janda Baik, Pahang. Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan seorang cahaya mata perempuan diberi nama Haura Uqaira.

Kredit: Utusan Malaysia

 

[fbcomments]