Cubaan seorang lelaki menyamar sebagai penghantar barang bertukar tragedi apabila dia meninggal dunia selepas bergelut dengan polis ketika cuba melarikan diri dalam satu kejadian samun dan rogol di sebuah kondominium di Wangsa Maju, Selasa lalu.
![]()
Suspek Samun dan Rogol Empat Wanita Rebah dan Meninggal Dunia
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan sekitar jam 12.40 tengah hari berhubung kejadian pecah rumah di kediaman berkenaan. Dua anggota polis yang dikejarkan ke lokasi pada awalnya tidak menerima sebarang jawapan daripada penghuni, namun pintu kemudian dibuka oleh seorang lelaki yang dipercayai suspek.
Ketika memperkenalkan diri, suspek tiba-tiba bertindak agresif dengan mengeluarkan sebilah pisau pemotong daging lalu cuba menetak anggota polis. Pergelutan tercetus apabila salah seorang anggota berjaya mengelak serangan, namun mereka turut ditumbuk dan digigit.
![]()
Dengan bantuan pengawal keselamatan, lelaki berusia 26 tahun itu berjaya ditahan. Bagaimanapun, tidak lama kemudian suspek dilaporkan mengalami sesak nafas sebelum rebah dan disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan yang tiba di lokasi.
Siasatan lanjut mendapati ketika kejadian, empat wanita tempatan berada di dalam rumah tersebut. Suspek dipercayai mengikat tangan kesemua mangsa sebelum mengurung tiga daripadanya di bilik utama. Seorang lagi mangsa dibawa ke bilik lain dan dirogol sebanyak dua kali termasuk di bilik mandi. Semua mangsa turut mengalami kecederaan ringan di bahagian muka, tangan dan badan.
![]()
Polis turut mendedahkan suspek mempunyai 10 rekod lampau berkaitan jenayah samun. Dalam kejadian itu, dia turut melarikan wang tunai RM200 serta kad ATM milik mangsa sebelum cuba melarikan diri.
Kredit: Berita Harian