Pelawak dan usahawan terkenal Shuib atau nama sebenarnya Shahmira Muhammad dikatakan sanggup hilang status sebagai duta KK Mart susulan isu penjualan stoking yang tertera kalimah Allah di kedai serbaneka terbabit baru-baru ini mencetus kemarahan ramai.
Shuib Kecewa KK Mart Tak Jaga Sensitiviti Orang Islam
Memetik laporan Kosmo! Online, Shuib memaklumkan bahawa kecuaian hingga menyentuh sensitiviti agama tidak sepatutnya berlaku dalam mana-mana bidang perniagaan. Beliau turut meluahkan rasa marah dan kecewa kerana kalimah Allah digunakan tanpa memikirkan sensitiviti orang Islam.
“Sebagai seorang umat Islam, saya akui terkesan dan perkara sebegitu tak sepatutnya berlaku dalam mana-mana bentuk perniagaan atau pun situasi.
“Kita akan marah sebab kalimah Allah ini benda yang terlalu besar. Kalau benar, saya tidak akan menyokong, saya tak akan mengiyakan langsung sebab ini tanggungjawab saya sebagai seorang umat Islam,” katanya.
Tak Sokong Apa Yang Dilakukan KK Mart
Tambah Shuib lagi, kalimah Allah yang tertera pada stoking tersebut merupakan satu penghinaan buat umat dan agama Islam. Perkara sebegini tidak seharusnya berlaku dan ianya adalah perbuatan yang sangat keji.
“Apa pun, isu ini masih belum selesai dan siasatan masih dijalankan, jadi saya tidak boleh ulas lanjut kerana melibatkan perniagaan dan juga sensitiviti orang lain. Saya akan teguh berdiri sebagai seorang umat Islam yang tidak akan sesekali menyokong sesuatu perkara salah,” ujarnya selaku duta KK Mart.
Shuib juga memaklumkan bahawa beliau sedia melepaskan tanggungjawabnya sebagai duta sekiranya kedai serbaneka berkenaan terbukti bersalah. Beliau berani mengeluarkan kenyataan sebegitu kerana dirinya sentiasa percaya dengan konsep rezeki dan tetap dengan prinsip sebagai seorang yang beragama Islam.
Sebelum ini, kecoh di media sosial mengenai stoking kalimah Allah yang dijual secara terbuka di rangkaian kedai serbaneka KK Mart sehingga menerima kecaman ramai.
Susulan isu tersebut, pihak KK Mart tampil membuat permohonan maaf secara terbuka dan pihak berkuasa kini sedang menjalankan siasatan.
Kredit: Kosmo! Online