Di Kuala Kangsar Perak, seorang bayi lelaki masih bertali pusat dijumpai dalam sebuah kotak berhampiran Pasar Besar Kuala Kangsar.
Menerusi video viral di media sosial, bayi tersebut dilihat dibalut dengan sehelai tuala dalam keadaan uri masih belum dipotong.
Bayi di dalam kotak
Bayi tersebut ditemui oleh sekumpulan peniaga kompleks niaga Bangunan UDA di Jalan Bendahara. Salah seorang peniaga, Mohamad Kamal Ashari berkata, dia menyedari terdapat bayi di dalam kotak tersebut kira-kira jam 9 pagi ketika ingin memasuki gerai makannya.
Saya datang ke gerai jam 9 pagi, namun mengikut peniaga lain, kotak itu sudah berada di situ sejak gerai bersebelahan mula dibuka kira-kira jam 7 pagi.
Sangkakan anak kucing
Mulanya, kami ingat ada orang buang anak kucing memandangkan penduduk setempat gemar membuang kucing di kawasan ini. Bagaimanapun timbul perasaan curiga apabila saya terdengar tangisan bayi itu, namun bunyinya sangat perlahan.
Mungkin disebabkan bayi malang itu diserkup tuala, justeru peniaga lain tidak menyedari tangisannya.

Sementara itu, Zainab Wahab yang turut berniaga di bangunan berkenaan berkata dia dan kakaknya melihat kotak berhampiran kawasan niaga kira-kira jam 6.50 pagi.
Kami sangkakan kotak itu berisi anak kucing yang mungkin dibuang orang malam tadi, tambahan pula waktu itu kami sibuk bersiap memulakan perniagaan dan melayan pelanggan.
Tangisan bayi berkenaan juga tidak kedengaran sehinggalah Mohamad Kamal mula mendengarnya sebelum kami semua terkejut dengan penemuan itu.