Kegiatan satu kumpulan lelaki yang dipercayai terlibat dalam aktiviti songsang berjaya dihentikan selepas sebuah rumah banglo di kawasan Kemumin, Pengkalan Chepa diserbu pihak polis dalam satu operasi mengejut pada bulan lalu.
![]()
Sarang Kegiatan Songsang Di Rumah Banglo Tumpas, 20 Lelaki Ditahan Polis
Menurut Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat, serbuan yang dijalankan sekitar jam 1 pagi itu dibuat hasil maklumat orang awam serta risikan pasukan khas yang dilakukan lebih awal.
Pemeriksaan di lokasi mendapati rumah banglo terbabit dijadikan tempat berkumpul oleh kumpulan lelaki yang dipercayai terbabit dalam gaya hidup homoseksual. Dalam serbuan itu, polis menemui sejumlah besar kondom serta ubat berkaitan HIV, dipercayai digunakan dalam aktiviti tidak bermoral.
“Ketika operasi dijalankan, sebahagian besar daripada mereka telah meninggalkan lokasi. Namun, seramai 20 individu lelaki berjaya ditahan bagi membantu siasatan,” katanya ketika ditemui media.
![]()
Hasil soal siasat awal mendapati, kesemua yang ditahan mengaku sebagai sebahagian daripada komuniti gay dan ada di antaranya merupakan penghidap HIV. Difahamkan, majlis perjumpaan itu dianjurkan secara terbuka tanpa bayaran dan dipromosikan menerusi media sosial bagi menarik lebih ramai peserta.
Lebih membimbangkan, siasatan lanjut ke atas telefon bimbit tiga individu berjaya mendedahkan bahan bukti video yang merakamkan perbuatan tidak bermoral sesama lelaki, sekali gus membawa kepada tindakan pendakwaan terhadap mereka di mahkamah.
Kes ini disifatkan sebagai yang pertama seumpamanya di negeri itu, dan pihak polis memberi jaminan akan terus memperketat pemantauan bagi membendung kegiatan tidak bermoral daripada terus menular.
Kredit: Harian Metro